PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dengan nada berseloroh mahu penyanyi dangdut, Baby Shima bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.
Khairy yang kini beralih profesion sebagai penyampai radio merasakan Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli sesuai bertanding di negeri itu.
“YB (Yang Berhormat), nanti Shima akan bertanding PRN, jadi YB rasa DUN mana sesuai utuk Shima?” soal Shima menerusi klip video berdurasi 16 saat yang dimuat naik dalam Instagram.
“Saya rasa Shima sesuai di Kelantan,” jawab Khairy.
Terdahulu, Baby Shima memberi bayangan akan bertanding dalam PRN selepas membuat pengakuan secara terbuka dalam Instagram.
PRN di enam negeri diadakan serentak 12 Ogos depan sebagai hari pengundian, manakala, 29 Julai ini adalah hari penamaan calon seperti diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pembabitan artis atau golongan selebriti dalam gelanggang politik bukan sesuatu yang asing kerana ramai yang pernah mencuba nasib seperti Azwan Ali, Aishah, Herman Tino, Datuk Eizlan Yusof dan Lando Zawawi.
PRN kali ini menyaksikan penyanyi rap, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman diumumkan bertanding bagi kerusi DUN Lembah Jaya di Selangor atas tiket PKR.