PETALING JAYA: Keuntungan hotel di negara ini didakwa merosot 80 hingga 90 peratus ekoran peningkatan perkhidmatan tempahan penginapan persendirian menerusi aplikasi Airbnb serta kewujudan ejen pelancongan dalam talian (OTA) tanpa kawalan.
Malah, industri hotel tempatan terancam apabila banyak perkhidmatan Airbnb dan penginapan yang tiada lesen menjadi pilihan pelancong luar negara mahupun tempatan yang menjadikan hotel semakin kekurangan pelanggan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, industri hotel tempatan kini terpaksa bersaing dengan penginapan yang tidak mempunyai lesen yang sah.
“Persoalannya mengapa tiada tindakan diambil terhadap penginapan yang tiada lesen, apakah pihak berwajib tidak mengawal selia perkara sebegini?
“Isu ini boleh dicari penyelesaian, tetapi mengapa tidak dibuat, sekurang-kurangnya situasi ini menang-menang di mana negara menerima cukai yang lebih tinggi dari industri perhotelan dan kami turut mendapat keuntungan,” katanya.
Terdahulu, negara ketika ini dilapor belum mempunyai undang-undang khusus bagi mengawal selia agensi pelancongan dalam talian dan penginapan jangka pendek (STRA) yang berisiko menjadi ancaman industri perhotelan negara.
Mengulas lanjut, Ganesh berkata, ejen pelancongan dalam talian mengambil komisen untuk mempromosikan sesebuah hotel dalam laman web tersebut.
“Komisen boleh bermula dari 17 peratus hingga ke 40 peratus yang mana sekiranya dibayar lebih akan ditunjukkan lebih kepada pelanggan yang melayari laman web tersebut.
“Selain itu, mereka mengawal harga sesuka hati yang boleh menaikkan harga mahupun menurunkan tetapi ini menyebabkan perbezaan yang besar dengan harga asal ditetapkan oleh pihak hotel.
“Sekiranya perkara ini dibiarkan, makin lama akan makin suram industri perhotelan di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, media memainkan peranan yang penting dalam menaikkan nama negara untuk mengalakkan pelancong luar negara ke Malaysia.
“Zaman sekarang, semua orang mencari maklumat di internet, bukan macam zaman dahulu tengok buku atau bertanya orang yang pernah melancong ke negara tersebut.
“Jadi, ia adalah sangat penting untuk mempunyai imej yang baik dalam talian. Apabila orang mencari Malaysia di Google, berita yang positif harus keluar untuk meningkatkan keterujaan mereka untuk melancong ke sini.
“Betulkan persepsi orang luar dahulu mengenai negara kita supaya pelancong rasa lebih yakin untuk melancong ke negara,” ujarnya. – UTUSAN











