PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ditahan pada pukul 2.30 pagi di Dutamas, dekat sini hari ini.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Razarudin berkata, Muhammad Sanusi ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
“Beliau (Muhamad Sanusi) pagi ini akan didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 kerana perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan bagi mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja (Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor).
“Tiada rampasan dibuat dan pihak peguam beliau (Muhammad Sanusi) telah sedia maklum yang Datuk Seri akan didakwa di Mahkamah Selayang hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, Muhamad Sanusi dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Gombak untuk tindakan selanjutnya.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Menerusi video tular tersebut, Muhammad Sanusi turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar, Datuk Amirudin Shari.- UTUSAN