PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah mengambil keterangan tiga saksi termasuk menteri dan dua warga China bagi membantu siasatan dakwaan rasuah membabitkan pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Satu sumber mendedahkan, beberapa pegawai imigresen yang terlibat juga akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan, hari ini.
Sumber berkata, SPRM juga telah mengenal pasti seorang individu yang disyaki menjadi orang tengah dalam urusan ‘menyelesaikan’ kes melibatkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana ditetapkan Jabatan Imigresen Malaysia.
“SPRM sedang giat mengesan individu yang merupakan ejen yang dikatakan telah meminta wang rasuah sebanyak RM18,000 bagi menyelesaikan kes terbabit,” kata sumber itu.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat di bawah seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.
Beliau mengesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan masa bagi SPRM melengkapkan siasatan. – UTUSAN