KOTA KINABALU: Pelaksanaan kerja-kerja awalan bagi pembangunan pekan baharun Kalabakan di kawasan seluas 30 ekar (12 hektar) dijangka bermula tahun ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, apabila dokumentasi bagi proses pindah milik tanah siap sepenuhnya, kerja-kerja awalan bagi pembangunan pekan baharu itu boleh dimulakan.
Menurut beliau, apabila proses dokumentasi itu selesai maka, pembangunan tiga struktur bangunan utama iaitu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), masjid dan lot kedai boleh dimulakan.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian itu berkata, pembangunan lot-lot kedai akan dilaksanakan oleh pemaju dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dengan bilangan minimum 10 lot kedai.
“Kita yakin pembangunan lot kedai secara berpusat akan membantu mengembangkan ekonomi setempat. Industri makanan, kraftangan dan sarang burung yang kini diusahakan secara kecil-kecilan boleh dikembangkan dengan adanya tapak jualan yang lebih baik.
“Di samping itu, bangunan pejabat-pejabat kerajaan juga boleh dipindahkan ke pekan berkenaan. Ia akan memudahkan penduduk setempat berurusan apabila berkunjung ke pekan baharu itu nanti,” katanya.
Menurut beliau, projek pembangunan pekan baharu Kalabakan telah lama dirancang maka, sebagai Ahli Parlimen yang baharu dipilih, beliau akan memastikan pembangunan dan kerja-kerja awalan akan mula dilaksanakan pada tahun ini.
Andi berkata, apabila Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dan Jalan Simanggaris ke Serudong, Kalabakan dibangunkan kelak, limpahan ekonomi dalam kalangan penduduk setempat dijangka akan menjadi lebih baik.
Mengulas lanjut katanya, pembangunan yang pesat bukan hanya membolehkan ekonomi penduduk bertambah baik malah, ia akan membolehkan kemudahan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik dan air dibekalkan kepada setiap penduduk kampung.
Jika dilihat, 65 peratus penduduk di Kalabakan adalah warga asing yang bekerja di ladang-ladang kelapa sawit dan selebihnya 35 peratus rakyat tempatan.Apabila Kalabakan semakin membangun, beliau berharap rakyat tempatan akan kembali bekerja di tempat sendiri dan secara tidak langsung ia membolehkan populasi rakyat tempatan di daerah ini kembali meningkat.
Mengenai jalan rosak, Andi berkata, beliau sering mengingatkan syarikat konsesi untuk menjalankan kerja-kerja menyelenggara jalan tapi, disebabKalabakan adalah kawasan ladang sawit maka, lori-lori besar sering menggunakan Jalan Kalabakan.
“Saya fikir apabila pembangunan semakin pesat secara tidak langsung pejabat daerah boleh mula memungut cukai dan hasilnya boleh digunakan untuk mencantikkan Pekan Baharu Kalabakan dan juga menyelenggara jalan raya dengan lebih kerap,” katanya.-UTUSAN