PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim, 41, reda apabila kereta edisi terhad miliknya remuk selepas terlibat dalam satu kemalangan di Putra Height, Subang Jaya baru-baru ini.
Semasa kejadian, kereta berjenama GR Yaris Kansai D1 Edition yang baru diterima Pekin seminggu yang lalu dibawa oleh kawannya yang berhasrat untuk memandu uji kenderaan tersebut.
Walaupun keretanya rosak teruk, namun Pekin lega kerana tiada nyawa yang melayang akibat kemalangan itu.
“Assalamualaikum, nak maklumkan bukan saya yang bawa kereta itu. Yang bawa adalah kawan saya bernama Amirul.
“Ada tiga orang di dalam kereta semasa kejadian. Abang Arif yang duduk di sebelah pemandu dan Faiz duduk di belakang.
“Alhamdulillah semua selamat walaupun alami kecederaan termasuk patah bahu. Doakan mereka semua cepat sembuh,” katanya dalam sebuah video yang dikongsikan menerusi aplikasi TikTok.
Pelakon filem Bunohan itu turut menegur tindakan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu kematian kawannya akibat kemalangan.
Baginya, apa yang berlaku sudah menjadi ketentuan takdir.
“Berhentilah sebarkan perkara-perkara yang bukan-bukan. Ada yang kata mereka meninggal. Juga kononnya mereka sedang berlumba.
“Perkara ini berlaku dalam sekelip mata, semua qada dan qadar.
“Apabila mereka semua sudah sihat barulah kita bincang macam mana nak selesaikan perkara ini,” kata Pekin.
Di akhir video Pekin sempat menitip pesanan agar semua pengguna jalan raya selalu berwaspada terutamanya jika anda memandu kereta orang lain.
“Kalau bawa kereta kawan, hati-hati.
“Itu sahaja yang boleh cakap,” katanya.
Hujung minggu lalu tular berita insiden kemalangan membabitkan sebuah GR Yaris Kansai D1 Edition yang rupanya milik Pekin.