'Kerajaan Perpaduan warisi masalah ekonomi angkara PN' 

‘Kerajaan Perpaduan warisi masalah ekonomi angkara PN’ 

R. RAMANAN (tengah) mengangkat tangan bersama dua calon Pakatan Harapan (PH), bagi DUN Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad (kanan) dan DUN Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman (kiri) semasa ceramah Arus Merah Kuning di Subang Bestari, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Buloh daripada PKR, Datuk R. Ramanan berkata, banyak masalah berlaku dalam negara melibatkan ekonomi ketika ini disebabkan Perikatan Nasional (PN) yang tidak menguruskan ekonomi dengan baik.

Timbalan Ketua Penerangan I PKR itu berkata, masalah ekonomi dihadapi bukanlah berpunca daripada Kerajaan Perpaduan, namun kerajaan terpaksa mewarisi masalah angkara perbuatan pentadbiran kerajaan terdahulu. 

Bagaimanapun, beliau berkata, Kerajaan Perpaduan sedang berusaha memperbaiki segala masalah secara satu demi satu. 

“Kalau kita lihat banyak masalah dihadapi adalah masalah ekonomi. Kalau perhatikan, masalah ini bukan kita (kerajaan) yang buat masalah ini, sebaliknya kita yang mewarisi masalah ini daripada PN. 

“Yang sedang membaiki masalah ekonomi ialah Perdana Menteri. Ini perkara pertama yang beliau sedang lakukan. Selain itu adalah isu rasuah. Kalau lihat apa yang berlaku kerajaan lapan bulan ini, memang isu kecil-kecil akan wujud, kita tidak boleh selesaikan kesemuanya dalam masa lapan bulan. 

“Kalau kita mahu menilai prestasi satu kerajaan, biasanya kerajaan lima tahun, lepas empat tahun mahu nilai, nilainya tetapi jangan nilai kerajaan selepas baru enam bulan mentadbir. Itu tidak adillah,” katanya semasa berucap dalam ceramah Arus Merah Kuning, di Subang Bestari, semalam. 

Yang hadir sama dalam kempen itu  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta dua calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim dan DUN Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), PN ditadbir oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Sementara itu, Anwar dalam ucapan memberi bahawa jaminan Kerajaan Perpaduan disertai 19 parti gabungan ketika ini adalah kukuh, stabil dan sukar untuk dijatuhkan.

Katanya, kerajaan turut diperkuat dengan kesepaduan serta kesepakatan dua timbalannya iaitu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof yang terus menzahirkan sokongan kepada kekukuhan kerajaan.

“Pada peringkat awal kita bentuk kerajaan, macam-macam cerita kita dengar tentang percubaan untuk ambil alih kerajaan dan ia dicanangkan dari bulan ke bulan sehingga yang terakhir semasa pembentangan Belanjawan 2023 yang lalu.

“Sekarang timbul pula cerita yang Kerajaan Perpaduan akan jatuh pada Ogos ini. Ini semua sembang sahaja.

“Jangan dengar dan termakan dengan cerita itu. Ketika ini kita (kerajaan) cukup kuat, utuh dengan semua kepimpinan parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan sepakat mempertahan kerajaan sedia ada,” katanya dalam program sama semalam. 

Dalam pada itu, Anwar menegaskan tidak sesekali berkompromi dan memaafkan mereka yang terlibat dengan perbuatan dan mencuri harta negara, khususnya ketika berkuasa.

“Mereka boleh tuduh saya macam-macam dan saya boleh maafkan tetapi apabila melibatkan rasuah, curi harta rakyat dan negara, saya tidak akan maafkan dan akan minta pihak berkuasa siasat sehingga kamu pulangkan wang yang dicuri kepada rakyat.

“Saya tidak mahu banyak berjanji, tapi yang pasti saya akan cuba sedaya upaya membuat perubahan ke arah kebaikan rakyat dan negara, itu saya berani janji,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya