Pendakwaan Tertunda ‘tumpulkan taring’ Peguam Negara?

Perjanjian Pendakwaan Tertunda ‘tumpulkan taring’ Peguam Negara?

YAACOB SAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan kerana boleh menyebabkan berlaku konflik antara Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam menentukan siapa didakwa di mahkamah.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Sam berkata, terdapat ruang untuk DPA disalah guna kuasa dalam menentukan mana-mana kes untuk didakwa atau sebaliknya.

Malah bekas Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC) itu juga bersetuju bahawa perlaksanaan DPA mampu ‘menumpulkan taring’ Peguam Negara seperti ditetapkan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia juga boleh mengakibatkan diskriminasi atau pilih kasih dalam menentukan kes mana yang hendak dilengahkan dan kes mana yang akan terus didakwa. Kita khuatir akan lebih banyak tindakan berupa menindas oleh agensi penguatkuasa.

“Sekarang pun banyak tindakan yang dipertikaikan kejujurannya apatah lagi jika undang-undang beri mereka kuasa untuk buat tawar-menawar nak tuduh bila, apa jenis tuduhan yang akan mereka sandarkan, selesai atau tidak di luar sistem mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya berhasrat melaksanakan DPA yang menyaksikan pertuduhan entiti atau institusi perniagaan ditangguhkan sementara waktu dan mereka perlu mematuhi beberapa syarat antaranya melibatkan pemulangan semula wang atau aset diseleweng, membayar penalti atau denda dikenakan.

Azam berkata, pelaksanaan DPA dapat menjimatkan kos dan proses mahkamah yang panjang, namun ia tidak bermakna tiada pendakwaan akan dikenakan terhadap tertuduh.

Yaacob yang juga bekas Pengarah Undang-Undang dan Pendakwaan SPRM berkata, pelaksanaan DPA juga boleh melemahkan peruntukan undang-undang sedia ada yang menghendaki pendakwaan atas harta sitaan atau dibekukan dibuat dalam masa 12 bulan.

“Penangguhan pendakwaan kerana terdapat perjanjian atau rundingan penyelesaian akan menjadi alasan untuk harta sitaan atau yang dibekukan ditahan lanjut melebihi daripada 12 bulan bercanggah dengan apa yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

“Seolah-olah ada motif lain dalam cadangan undang-undang baharu ini untuk membolehkan pihak berkuasa melengahkan pendakwaan tanpa harta yang menjadi subjek siasatan perlu dikembalikan (kepada tuan punya harta),” katanya.

Yaacob berkata, meskipun DPA dilaksanakan di Amerika Syarikat dan United Kingdom, namun norma perlakuan agensi penguatkuasa di negara ini tidak sama dengan amalan terbaik digunapakai agensi penguatkuasa di negara-negara itu.

Katanya, tindakan pemulihan sivil atas harta yang diperoleh melalui proses menyalahi undang-undang boleh diambil sebagai tindakan yang berasingan dan tidak dicampur adukkan dengan pendakwaan jenayah atas kesalahan yang dilakukan.

Katannya, tidak dinafikan bahawa kenyataan Azam mungkin salah satu cara untuk mendapatkan pandangan umum bagi memperhalusi peruntukan terbabit sebelum DPA dilaksanakan, namun ia tetap menimbulkan kebimbangan umum.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×