JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempunyai kuasa untuk membenarkan permohonan penukaran status tanah rizab Melayu (TRM) Kampung Melayu Majidee menjadi hak milik kekal.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, bidang kuasa tersebut termaktub dalam Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan kerana tanah adalah bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Johor berkata, PBN merujuk kepada Menteri Besar yang mengetuai kerajaan negeri yang berhak membuat keputusan tentang perkara berkenaan.
“Isu penukaran hak milik daripada TRM pajakan 99 tahun ke TRM hak milik kekal atau sekatan berbuat demikian sebenarnya tidak disebut secara terperinci dalam Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 atau dalam Enakmen Rizab Melayu (ERM) Johor 1936.
“Apabila timbul keadaan sebegini, ia terpulang kepada budi bicara PBN, iaitu Menteri Besar untuk membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Isu permohonan penukaran status TRM Kampung Melayu Majidee ke hak milik kekal hangat diperkatakan, namun kerajaan negeri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu tersebut.
Pada 27 April lalu, penduduk Kampung Melayu Majidee yang berdepan isu tempoh pajakan negeri 99 tahun hampir tamat, dinasihatkan untuk segera membuat permohonan melanjutkan tempoh pajakan tanah mereka.
Dzulkefly menjelaskan, menurut Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan dalam Jadual 9, Senarai II (Senarai Negeri) dinyatakan bahawa tanah adalah urusan atau bidang kuasa PBN.
“Mengambil pengalaman Bandar Baru Uda (BBU) yang pada asalnya adalah pegangan hak milik pajakan kemudian diluluskan oleh PBN menjadi pegangan hak milik kekal. Maka penyelesaian isu tuntutan penduduk Kampung Melayu
Majidee ini kembali menjadi budi bicara dan kebijaksanaan PBN atau Menteri Besar,” katanya.
Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar dilaporkan berkata, pemilik tanah berkenaan diminta untuk memohon lanjutan tempoh pajakan kerana ia merupakan langkah yang lebih realistik dan praktikal dalam situasi semasa.
Sebelum ini, Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) dilaporkan berkata, lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee masih menanti jawapan tentang status permohonan hak milik kekal daripada kerajaan negeri, sejak tahun lalu. – UTUSAN










