Kerajaan Sabah belum terima RM300 juta selesai masalah air

Kerajaan Negeri Sabah belum terima RM300 juta selesai masalah air

SHAHELMEY Yahya menyempurnakan simbolik penyerahan tapak projek cadangan menaik taraf Mini Stadium Majlis Daerah Putatan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Catuan bekalan air di beberapa kawasan di Sabah masih dilakukan sehingga sekarang susulan bekalan air terawat masih belum mencukupi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kerajaan negeri masih dalam proses menstabilkan agihan bekalan air bagi kawasan Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran.

Bagi menstabilkan bekalan air, beberapa sambungan langsung yang sepatutnya tidak dilakukan telah ditutup agar tangki-tangki simpanan air dapat diisi untuk diagihkan kepada pengguna.

Begitu juga di Papar, ada beberapa situasi tekanan air rendah di kawasan perumahan tapi, mungkin ia berkaitan dengan pengurusan pangsapuri dalam mengurus atau menyelenggara pam-pam air mereka.

“Sekiranya ada aduan mengenai masalah bekalan air boleh maklumkan kepada saya secara ‘direct’ pun boleh..siang dan malam, saya akan maklumkan kepada Jabatan Air untuk melihat kawasan tersebut,” katanya ketika ditanya mengenai catuan bekalan air di dua kawasan perumahan di daerah Papar.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan tapak projek cadangan menaik taraf dan membaik pulih Mini Stadium Majlis Daerah Putatan hari ini.

Menurut beliau, peruntukan RM300 juta daripada kerajaan Persekutuan dalam membantu menyelesaikan masalah air di Sabah masih belum diterima. Maka, kerajaan negeri akan cuba menggesa agar peruntukan itu disalurkan.

“Petang ini ada mesyuarat Kabinet Negeri, kita akan bincang perkara ini untuk melihat bagaimana untuk dilaksana sebab kita tidak boleh mengambil pendekatan tungu dan lihat. Tindakan perlu diambil untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di Sabah,” katanya.

Menteri Kerja Raya itu berkata, pada masa ini, kerajaan juga dalam proses mengurangkan penjualan air melalui lori-lori tangki air yang dikendalikan pihak syarikat susulan ada pihak yang mengambil kesempatan menjual air pada kadar yang tinggi.

Katanya, penjualan air melalui lori tangki hanya dibenarkan bagi tujuan kecemasan dan kegunaan kawasan yang tiada bekalan air terawat.

“Berdasarkan maklumat terkumpul diterima, sebilangan kawasan mengambil keuntungan berlebihan dengan mengenakan bayaran RM14 hingga RM28 per meter padu walhal, mereka beli air di Taman Gaya pada kadar RM3 per meter padu.

“Perkara ini memeranjatkan kita dan keadaan semakin tidak terkawal maka, kita akan siasat dan menghentikan isu. Kini, kita sedang mendapatkan laporan dan maklumat lengkap daripada Jabatan Air bagi mengenal pasti kaedah mengawal keadaan tersebut,” katanya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya