Keperitan hidup Ross Ariffin dapat perhatian

Keperitan hidup Ross Ariffin dapat perhatian

NAYLUL Abqari Johari (kiri) dan Ross Ariffin menunjukkan isyarat bagus di Restoran Sangkeriau, Jalan Hang Tuah, Melaka semalam. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Komposer terkenal Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin, 61, tidak dapat menahan sebak apabila keperitan dan kesusahan hidupnya yang dilaporkan Utusan Malaysia semalam, mendapat perhatian seorang pengusaha restoran di Jalan Hang Tuah di sini.

Ross berkata, dia ditawarkan bukan sahaja bermain muzik setiap malam di restoran itu malah pemiliknya turut menyediakan bilik untuk didiami tanpa perlu membayar sewa.

Katanya, makanan dan minumnya juga akan ditanggung sepenuhnya oleh pemilik premis tersebut.

“Lebih mengharukan apabila saya dibelikan sebuah keyboard terpakai jenis Yamaha PSR453 berharga RM1,800 untuk saya kembali bermain muzik.

“Sebak rasanya kerana ada individu yang prihatin dan simpati dengan kesusahan hidup saya sejak enam tahun lalu.

“Saya amat berterima kasih atas pertolongan yang diberikan dan ini membuka lembaran baharu dalam hidup saya yang hidup serba tidak menentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini me­laporkan, seorang komposer dan penerbit ter­kenal di waktu popularitinya yang hidup serba mewah dan disanjung tinggi, kini cuba bangkit daripada hidup merempat.

Ross yang cukup dikenali sebagai pencipta lagu seperti Dia dinyanyikan Fauziah Latiff; Kau dan Aku nyanyian Ning Baizura; Kurniaan Dalam Samaran, Datuk Seri Siti Nurhaliza; Semalam Ku Tolak Ke Tepi, Liza Aziz dan banyak lagi hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Tambahnya, ruang untuk bermain muzik setiap malam bermula pukul 9 hingga 12 te­ngah malam memberi peluang untuknya kembali mencipta lagu selepas menyepi hampir enam tahun.

Sementara itu, pemilik Res­toran Sangkeriau, Naylul Abqari Johari, 22, berkata, dia bersimpati dengan kesusahan hidup yang dialami oleh anak seni itu.

“Setelah berbincang dengan ayah, komposer itu ditawarkan bermain muzik, disediakan tempat tinggal termasuk makan dan minum sepanjang berada di situ.

“Saya amat terkejut apabila berjumpa bersemuka dengannya. Saya tidak sangka dia seorang komposer yang terkenal mengharumkan nama ramai artis, hidup melarat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×