Kenyataan Guan Eng gugat sensitiviti dan kententeraman awam - Utusan Malaysia

Kenyataan Guan Eng gugat sensitiviti dan kententeraman awam

Mohd Azizi Syam Samsudin (dua dari kanan) menunjukkan laporan kenyataan dikeluarkan oleh Lim Guan Eng sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Perlis, hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Amaran Pengerusi DAP, Lim Guan Eng kepada pengundi Pulau Pinang agar menyekat ‘gelombang hijau’ kerana akan memusnahkan tokong Buddha disifatkan keterlaluan yang mampu menggugat sensitiviti agama dan ketenteraman awam di negara ini.

Malah, kenyataan itu juga amat tidak wajar memandangkan kerajaan sendiri sebelum ini berulang kali menentang mana-mana pihak yang menggunakan sentimen ‘3R’ iaitu agama (religion), raja (royalty) dan kaum (race).

Ketua Pemuda Pas Kawasan Kangar, Mohd Azizi Syam Samsudin berkata, Guan Eng tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu memandangkan rakyat di negara ini terdiri daripada masyarakat pelbagai lapisan kaum.

Katanya, tidak sepatutnya kenyataan seperti itu keluar daripada seorang pemimpin parti kerajaan yang sebelum ini menentang mana-mana pihak menggunakan isu 3R.

“Tidak sewajarnya kenyataan seperti itu dikeluarkan oleh seorang pemimpin dalam parti kerajaan yang sebelum ini kononnya menentang mana-mana pihak yang menggunakan isu 3R ini, namun mereka sendiri yang bertindak sedemikian,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berhubung isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, di sini hari ini.

Selain Pemuda Pas Kawasan Kangar, laporan sama turut dibuat oleh Pemuda Pas Kawasan Arau, Pemuda Pas Kawasan Padang Besar dan Pemuda Pas negeri.

Susulan itu, Mohd Azizi berharap agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan terhadap kenyataan Guan Eng itu yang mampu mengundang pelbagai kesan terhadap keharmonian rakyat di negara ini.

“Pemuda Pas sememangnya amat terkilan dengan apa yang disuarakan oleh pimpinan DAP itu kerana jika dilihat setelah sekian lama Pas mentadbir Kelantan, tiada satu pun patung Buddha dirobohkan.

“Disebabkan itulah siasatan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa di atas kenyataan dikeluarkan oleh Guan Eng itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Azizi berkata, kenyataan dikeluarkan itu juga dibimbangi akan menaikkan sentimen lain yang boleh menganggu-gugat ketenteraman dan keharmonian rakyat.

Tambahnya, setiap pihak seharusnya lebih peka dalam menyuarakan sebarang pendapat berhubung isu perkauman dan agama di negara ini.

“Kita juga berharap agar rakyat khususnya di Pulau Pinang tidak terpengaruh dan dapat melihat sendiri bagaimana Pas meraikan kepelbagaian kaum sebagaimana dilaksanakan di Kelantan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya