Kembali mengaji peringkat awal, Bandi baiki bacaan Al-Quran - Utusan Malaysia

Kembali mengaji peringkat awal, Bandi baiki bacaan Al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usia lebih lima dekad tidak menghalang vokalis Amuk, Bandi mengulang semula pengajian di peringkat awal untuk memperbaiki kemahiran membaca Al Quran.

Kata Bandi, sebagai beragama Islam, langkah itu penting untuk memastikan dia tidak ketinggalan dan mahir membaca kitab suci tersebut meskipun usianya sudah lanjut.

“Ini sebabnya awal dahulu saya sering tolak pelawaan untuk sertai Gegar Vaganza. Selama tiga tahun saya ikuti pengajian Al Quran secara talaqi di Johor Bharu.

“Saya boleh baca (Al Quran), cuma tajwid masih belum sempurna. Jadi saya mula mengaji pada peringkat Iqra’ dan teruskan sampai tiga tahun setengah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Bandi atau nama penuhnya Nasabandi Jumat, meskipun bukan manusia sempurna, dia tidak melupakan untuk berpesan kepada sahabat-sahabatnya agar sama-sama memperbaiki bacaan Al Quran.

“Saya katakan pada kawan-kawan, jangan berhenti belajar Al Quran. Ia penting.

“Saya berpesan bukan nak tunjuk baik, tapi nak mengajak ke arah kebaikan,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, Bandi memaklumkan dia juga pernah menyertai program dianjurkan golongan Tabligh, menyampaikan dakwah dan kebaikan.

“Saya pernah ikut program keluar tiga hari. Kalau ada kelapangan, saya buat.

“Buat setakat yang mampu. Kalau nak keluar lebih lama mungkin belum berkesempatan kerana saya ada isteri dan anak-anak yang lebih memerlukan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN