Jenayah pornografi kanak-kanak sentiasa dipantau- Polis Sabah

Jenayah pornografi kanak-kanak sentiasa dipantau- Polis Sabah

IBU PEJABAT POLIS KONTINJEN (IPK) SABAH di Kota Kinabalu. -UTUSAN/SURAIDAH ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan mengadakan operasi risikan bagi memantau aktiviti jenayah pornografi membabitkan kanak-kanak di negeri ini.

Ia susulan laporan yang merekodkan Sabah berada di kedudukan keempat tertinggi bagi kes pornografi kanak-kanak.

Bagi tempoh 2018 hingga tahun lalu, sebanyak 375 kes direkodkan di Sabah daripada 4,832 kes yang dilaporkan di negara ini, dengan Selangor sebagai negeri tertinggi merekodkan kes jenayah pornografi kanak-kanak.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, memang ada beberapa tangkapan telah dilakukan sebelum ini oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah.

 

“Kes sebegini memang wujud di Sabah dan tangkapan terbaharu dilakukan pada awal tahun ini,” katanya selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Penampang hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat menyatakan secara spesifik mengenai aliran semasa Kes pornografi membabitkan kanak-kanak di Sabah kerana perlu merujuk kepada statistik terlebih dahulu.

Pada 30 Jun lalu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan dilaporkan berkata, kebanyakan kes menunjukkan bahan pornografi diakses secara online sama ada memuat naik, memuat turun mahupun menyebarkan gambar dan video melibatkan kanak-kanak.

Malah, sesetengah kes pelaku memanipulasi mangsa dengan meminta mereka menghantar video berunsur seksual atau melakukan aksi seksual dengan pelaku.

Mengenai penugasan anggota PDRM Sabah bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Semenanjung, Jauteh berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak sama ada Bukit Aman atau negeri-negeri terlibat untuk meminta bantuan daripada Polis Kontinjen Sabah.

Namun, sekiranya ada permohonan bagi membantu penguasan, Kontinjen Sabah bersedia untuk memberi bantuan yang diperlukan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN