PETALING JAYA: Syarikat tempatan, Aerotree Defence and Services Sdn. Bhd. memfailkan saman RM353 juta terhadap kerajaan ekoran pembatalan sewaan lima tahun melibatkan empat helikopter Blackhawk UH-60A buatan Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan The Edge, saman difailkan melalui firma guaman Messrs Hafarizam, Wan Aisha & Mubarak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menamakan Kementerian Pertahanan dan Ketua Setiausahanya sebagai defendan.
Aerotree Defence memohon kepada mahkamah supaya mengarahkan Kementerian Pertahanan dan kerajaan untuk meneruskan perjanjian pajakan helikopter berdasarkan surat penerimaan bertarikh 17 April 2023
Jika perjanjian tersebut tidak dapat dilaksanakan, syarikat itu memohon ganti rugi khas RM17.5 juta, ganti rugi tambahan RM38.7 juta, dan pampasan RM297.3 juta. Ia juga menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk.
Aerotree juga memohon supaya kerajaan dihalang daripada menggunakan jaminan bank RM1.87 juta, serta satu pengisytiharan bahawa penamatan pada 31 Oktober 2024 adalah tidak sah dan batal.
Dalam penyataan tuntutan setebal 31 muka surat itu, syarikat berkenaan menyatakan kerajaan telah bersetuju untuk menyewa empat helikopter bernilai RM187.5 juta di bawah inisiatif pembiayaan swasta, dengan syarikat tersebut akan memiliki, mengendalikan, dan menyelenggara pesawat berkenaan.
Di bawah perjanjian itu, dua helikopter sepatutnya dihantar dalam tempoh enam bulan selepas surat setuju terima, manakala dua lagi dalam tempoh sembilan bulan. Aerotree juga telah menyediakan bon pelaksanaan RM1.87 juta yang dijamin Perwira Affin Bank.
Syarikat itu berkata, ia telah menandatangani perjanjian dengan Havelsan dari Turki bagi latihan simulator untuk 14 juruterbang tentera darat, serta dengan akademi latihan dari Slovakia untuk membeli dan menaik taraf helikopter berkenaan.
Namun, katanya, penghantaran tertangguh disebabkan pengubahsuaian teknikal, keperluan latihan juruterbang, serta gangguan rantaian bekalan akibat perang Russia-Ukraine. Pihak syarikat telah memohon tiga kali lanjutan sehingga 30 Oktober 2024, namun ia masih tertakluk kepada penalti kelewatan penghantaran.
Syarikat itu juga mendakwa kementerian gagal membantu mendapatkan pinjaman daripada SME Bank, yang ketika itu sedang melalui penyusunan semula lembaga pengarah. Katanya, pertukaran menteri pertahanan turut menangguhkan urusan dokumen.
Pada 31 Oktober 2024, Aerotree menerima surat penamatan kerana gagal menyerahkan helikopter tersebut.
Ia berkata, tindakan itu tidak adil sambil berhujah bahawa helikopter berkenaan telah pun didaftarkan dengan Jabatan Negara AS dan sedang menunggu kelulusan eksport di bawah Peraturan Trafik Antarabangsa dalam Senjata.
Syarikat itu berhujah, penalti sepatutnya dikenakan, bukannya pembatalan, selain mendakwa penamatan dibuat melanggar terma surat setuju terima yang menghendaki rundingan dibuat terlebih dahulu.
Aerotree juga mendakwa, dokumen pembiayaan utama iaitu surat ikatan kemudahan dikemukakan kepada bahagian perundangan kementerian pada Jun 2024, namun tiada tindakan diambil.
Syarikat berkenaan mendakwa, kerajaan kemudiannya telah merampas bon pelaksanaan RM1.87 juta dan mengabaikan surat rayuan dihantar pada Disember 2024.
Ia berkata, tindakan itu menjejaskan reputasinya dan mendedahkannya kepada tindakan undang-undang daripada pembekal di Slovakia.
Ia juga menyatakan bahawa kementerian mengeluarkan tender baharu bagi penyewaan helikopter pada 4 Ogos 2025 bernilai RM185.2 juta, yang akan ditutup pada 23 September ini.
Walaupun Aerotree layak untuk memohon semula, katanya, tiada jaminan kejayaan dan ia memberi amaran mengenai kemungkinan halangan yang sama berulang.
Dengan kelulusan eksport kini telah diperoleh, Aerotree berkata, penamatan itu dilakukan dengan niat tidak baik, yang menyebabkan kerugian kewangan dan reputasi yang besar.
Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 23 Oktober ini.-UTUSAN









