Aerotree berjaya halang kerajaan guna jaminan RM1.87 juta

Aerotree berjaya halang kerajaan guna jaminan RM1.87 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syarikat kejuruteraan pertahanan, Aerotree Defence and Services Sdn. Bhd. berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang kerajaan daripada menggunakan jaminan bank (bank guarantee) bernilai RM1.87 juta berkait dengan sewaan helikopter Black Hawk UH-60A.

Hakim Datuk Dr. Arik Sanusi Yeop Johari memutuskan demikian selepas mendapati bahawa mahkamah tidak terikat dengan Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Seksyen tersebut melarang mahkamah daripada mengeluarkan injunksi atau perintah terhadap kerajaan dan penjawat awam yang akan memberi relif atau perlindungan kepada pihak lawan yang tidak dapat diperoleh dalam prosiding biasa terhadap kerajaan dengan tujuan mencegah perintah yang boleh menjejaskan fungsi rasmi kerajaan.

“Saya berpendapat bahawa Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan tidak tegas (does not strictly prohibit) melarang pemberian injunksi interim. Saya berpuas hati bahawa relif sedemikian boleh diberikan,” ujar hakim itu sebelum membenarkan permohon oleh Aerotree.

Pada prosiding hari ini, Aerotree yang juga syarikat bumiputera tempatan diwakili peguam-peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun, Muhammad Luqman Hakeem Abas dan Norhazira Abu Haiyan manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nik Mohd. Noor Nik Kar mewakili kesemua defendan.

Dalam saman yang difailkan September lalu, Aerotree menamakan Kementerian Pertahanan Malaysia dan Ketua Setiausahanya serta Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Menurut penyataan tuntutan, Aerotree mendakwa Aerotree menyatakan kerajaan telah bersetuju untuk menyewa empat helikopter Black Hawk selama lima tahun dengan nilai RM187.5 juta yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif Pembiayaan Swasta (Private Finance Initiative).

Di bawah perjanjian tersebut, Aerotree dikehendaki menghantar dua helikopter dalam tempoh enam bulan daripada tarikh surat penerimaan pada April 2023 dan dua lagi dalam tempoh sembilan bulan. Syarikat itu juga perlu menyediakan bon pelaksanaan yang tidak boleh dibatalkan bernilai RM1.87 juta.

Aerotree turut diwajibkan melaksanakan program latihan dan kolaborasi industri. Bagi tujuan ini, syarikat telah memohon akses ke Pangkalan Tentera Udara Kuantan untuk menyediakan manual penyelenggaraan serta mendapatkan pensijilan sebagai Organisasi Penyelenggaraan Diluluskan (Approved Maintenance Organisation).

Pada Julai 2023, Aerotree menandatangani perjanjian dengan syarikat Turki, Havelsan, bagi latihan simulator Black Hawk untuk 14 juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pada bulan berikutnya, syarikat menandatangani perjanjian jualan dengan Training Academy dari Slovakia untuk membeli dan menaik taraf empat helikopter Black Hawk.

Bagaimanapun, pada 1 Oktober 2024, Aerotree mendakwa, pihaknya telah menerima surat penamatan perjanjian oleh kerajaan selepas syarikat itu didakwa gagal menyerahkan dua buah helikopter dalam tempoh enam bulan selepas menerima surat penerimaan dan dua buah lagi dalam tempoh sembilan bulan.

Syarikat itu mendakwa kelewatan berlaku akibat faktor teknikal, konflik Rusia-Ukraine serta isu kawal selia eksport Amerika Syarikat (ITAR) termasuk penangguhan kerajaan dalam menyediakan dokumen sokongan kewangan termasuk akuan amanah yang diperlukan untuk pembayaran awal.

Aerotree mendakwa Kementerian Pertahanan dan kerajaan gagal membantu syarikat mendapatkan pembiayaan daripada SME Bank, yang ketika itu sedang melalui proses penstrukturan semula lembaga pengarah.

Pertukaran Menteri Pertahanan juga menyebabkan kelewatan dalam penyediaan dokumen yang diperlukan untuk kelulusan pinjaman. Walaupun pinjaman tersebut akhirnya diluluskan, syarikat masih belum menerima surat ikatan amanah daripada kementerian bagi membolehkan pembayaran pertama dibuat.

Syarikat itu berkata kerajaan mengetahui sebab-sebab kelewatan tersebut tetapi mengenakan syarat lanjutan yang tidak adil sehingga menyukarkan Aerotree menyiapkan perjanjian, sekali gus meletakkan syarikat dalam keadaan gagal.

Oleh itu, Aerotree selaku plaintif antara lain memohon pengisytiharan mahkamah bahawa penamatan perjanjian oleh kerajaan pada 31 Okt 2024 adalah tidak sah dan terbatal.

Plaintif turut memohon perintah mahkamah mengarahkan kerajaan dan Kementerian Pertahanan meneruskan perjanjian sewaan berdasarkan surat penerimaan bertarikh 17 April 2023, atau sebagai alternatif, membayar ganti rugi RM353 juta dan pampasan tambahan.

Jumlah ganti rugi itu merangkumi ganti rugi khas RM17.5 juta, ganti rugi tambahan RM38.7 juta serta pampasan AS$38.7 juta (sekitar RM297.3 juta). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN