GOMBAK: “Jangan Kelantan-kan, jangan Kedah-kan atau jangan Terengganu-kan negeri Selangor”. Itu pesan Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md. Yunos kepada pengundi.
Pesanan tersebut disampaikan Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini yang akan menentukan pemerintahan negeri.
Beliau berkata, cukuplah sekadar penduduk di negeri tersebut berhijrah ke Selangor untuk mencari peluang pekerjaan namun jangan benarkan pemerintahan negeri diserahkan kepada Perikatan Nasional (PN).
“Cukuplah orang Terengganu, Kedah dan Kelantan berhijrah ke Selangor, kalau kita serahkan tampuk pemerintahan kepada mereka (PN) ke mana orang-orang Selangor nak berhijrah selepas ini.
“Pastikan (dan) kekalkan momentum Selangor untuk Selangor dan Selangor untuk semua masyarakat,” katanya ketika ditemui di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO), di sini hari ini.
Ketika ditanya berhubung ‘mood’ pengundi di Selangor secara keseluruhannya, Jamal yang sebelum ini dikenali sebagai ‘badboy’ berkata, sudah mula timbul kesedaran dalam kalangan pengundi muda sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Selangor berbeza dengan negeri lain, pengundi di sini mahukan pembangunan dan manfaat sebagai sebuah negeri yang maju. Mereka tidak mahu undur ke belakang.
“Memilih (parti) selain BN maka jadi kerajaan seperti yang ada di Kedah (ketika ini),” katanya tanpa mengulas lanjut berhubung kenyataan tersebut.
Pada masa sama, Jamal melahirkan keyakinan bahawa kerjasama antara dua gabungan besar iaitu BN bersama Pakatan Harapan (PH) mampu menawan dua pertiga majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
“Berbanding sebulan lalu, ketika kempen awal yang dilakukan oleh PN telah banyak mempengaruhi pengundi-pengundi. Kononnya dimomokkan UMNO sudah lari daripada prinsip, UMNO dah masuk DAP dan macam-macam lagi.
“Tetapi apabila jentera Kerajaan Perpaduan mulakan kempen memberi penerangan dan sebagainya, dan PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh kata setiap hari adakan program ceramah di mana-mana, banyaklah kesedaran dan sokongan kalangan pengundi atas pagar beralih arah kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya. – UTUSAN










