Jangan buat bukan-bukan atas pentas - Ramli MS

Jangan buat bukan-bukan atas pentas – Ramli MS

RAMLI MS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tatatertib dan kelakuan seseorang artis termasuk dari luar negara perlu menjadi perkara utama yang wajib ditekankan penganjur sebelum sesebuah konsert diadakan.

Maestro Muzik, Datuk Ramli MS berkata, sebarang perlakuan songsang termasuk lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak boleh dijadikan ‘tontonan’ dan sekiranya wujud unsur yang cuba mempengaruhi peminat wajar disekat lebih awal.

Bagaimanapun beliau berpandangan, hal berkaitan peribadi dan kecenderungan seseorang artis tidak boleh dijadikan ukuran sama ada untuk menghalang atau memberi kebenaran mengadakan konsert di negara ini.

“Pada pandangan saya, tidak kisah kalau seseorang itu merupakan LGBT atau apa-apa hal lain. Paling penting bukan hendak mempengaruhi atau lakukan perkara yang bukan-bukan di atas pentas atau tunjukkan tantrumnya serta menyusahkan ramai orang.

“Cuba awak lihat berapa ramai golongan LGBT yang ada di Malaysia, berjalan bebas dan ada yang berpakaian wanita. Adakah teruk mereka diperlakukan, dihina dan dicaci? Kalau artis itu datang dengan berpakaian sedemikian, itu cara dia. Paling penting dia bukan mahu mempengaruhi sesiapa pun,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 menimbulkan kontroversi dan dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi melampau di hadapan peminat.

Healy didakwa memegang botol arak ketika berada atas pentas selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.

Vokalis itu juga membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebelum bertindak mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.

Sejurus itu, Healy dimaklumkan menerima arahan supaya menghentikan persembahan tersebut serta-merta.

Dalam pada itu, Ramli berkata, penganjuran konsert melibatkan artis luar negara memberi kesan positif dan lebih besar kepada ekonomi negara.

Katanya, negara akan mendapat limpahan ekonomi susulan ramai pengunjung termasuk dari luar negara datang berbelanja di negara ini.

“Bayangkan apabila datang satu-satu band yang popular dari luar negara ke satu tempat, penduduk dari negara jiran juga pasti akan datang. Permintaan meningkat untuk tiket kapal terbang dan hotel serta makan.

“Tidak keterlaluan kalau saya katakan, sekurang RM3,000 ke RM5,000 dibelanjakan sepanjang tempoh apabila seseorang itu datang dan mahu menonton konsert,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN