ALOR GAJAH: Jalan Pintas Kampung Jeram-Solok Ayer Limau di sini sepanjang lapan kilometer dijangka dapat disiapkan lebih awal pada pertengahan tahun depan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, projek yang menelan kos kira-kira RM34 juta itu bertujuan untuk penyuraian trafik di Pekan Masjid Tanah dan kerja-kerja pembinaan telah bermula sejak Februari 2022.
Kata beliau, apabila siap kelak, masa perjalanan menjadi lebih singkat iaitu kira-kira 15 minit berbanding 30 minit ketika ini.
“Projek ini membantu penyuraian trafik untuk mereka yang berulang-alik dari Port Dickson, Negeri Sembilan melalui Kuala Sungai Baru untuk ke Alor Gajah. Jalan baharu ini akan mengurangkan kesesakan di Pekan Masjid Tanah.
“Saya melihat projek ini akan memberi pulangan ekonomi kepada masyarakat setempat. Apabila terbentuknya jalan-jalan baharu ini, maka projek-projek perumahan di sepanjang jalan ini mula diraih oleh pemaju perumahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke tapak berkenaan, semalam bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Tambah Ab. Rauf, bagi tujuan pelaksanaan projek, pengambilalihan tanah di sepanjang jajaran terlibat tidak melibatkan kawasan perumahan dan kampung.
Menurutnya, projek itu telah dirancang dengan teliti supaya tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat.
“Yang cantiknya kawasan ini pengambilalihan tanah tidak melibatkan kawasan perumahan sesiapa pun. Ia merupakan satu projek yang telah diolah supaya tidak melibatkan perumahan atau kampung sebaliknya membabitkan kawasan tanaman getah dan kelapa sawit sahaja,” ujarnya. – UTUSAN