Jaclyn Victor belum setaraf Beyonce

Jaclyn Victor sanggup terbang ke New York, hasilkan single

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEJAM celik sudah 20 tahun penyanyi bervokal lantang ini menceburi bidang seni suara. Pelbagai kejayaan dan pencapaian diraih sejak bergelar juara Malaysia Idol musim pertama pada 2004.

Lagu Gemilang pernah menjulang nama Jaclyn atau mesra disapa Jac di persada seni, dalam dan luar negara.

Bakat, kredibiliti dan kebolehan Jac dalam bidang nyanyian tidak boleh disangkal. Malah, anak seni ini merupakan antara vokalis wanita terbaik yang pernah dilahirkan Malaysia.

Kelunakan suara dengan nada tinggi yang dipersembahkan oleh Juara Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) ini boleh membuatkan pendengar meremang bulu roma.

Walaupun pernah mengadakan persembahan di sebuah kelab terkemuka di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2014, namun, penyanyi ini tidak pernah berhajat untuk berhijrah ke luar negara.

Baginya, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

“Masa itu baru keluarkan album bahasa Inggeris. Tak pernah pula merancang untuk berpindah ke luar negara.

“Kalau muda lagi tak mengapa, sekarang sudah berkeluarga dan mempunyai anak. Setakat ini belum pernah dapat job menyanyi di luar negara. Susah melainkan kalau memang tinggal di sana,” kata penyanyi yang memiliki tujuh album studio ini.

KELANA KE NEW YORK

Bagi mencipta kelainan dalam penghasilan single baharu, penyanyi berusia 45 tahun ini sanggup terbang jauh sehingga ke New York.

Pilihan itu juga bukan bermaksud Jac tidak percaya dengan bakat tempatan, sebaliknya, dia juga menggunakan khidmat kepakaran rakyat Malaysia yang menetap di sana.

“Komposer, penulis lirik, jurutera bunyi dan tenaga kerja yang terlibat dalam penerbitan lagu ini semuanya rakyat tempatan yang tinggal di sana. Mereka adalah kawan-kawan saya yang menetap di New York.

“Saya inginkan kelainan. Ikutkan, selama ini kerja seni saya semuanya buat di Malaysia,” katanya.

Mengulas pembikinan single Kembalilah yang dihasilkan oleh komposer, Gerald Sellan dan lirik ditulis oleh Adrian Puan, Jac berkata, dia sebenarnya sudah mendapat pelawaan untuk bekerjasama sejak beberapa tahun lalu.

Kongsi Jac, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum bersetuju melakukan penerbangan ke Kota Metropolitan itu.

“Mereka sudah lama ajak kolaborasi bersama. Tetapi banyak perkara perlu diambil berat lebih-lebih lagi melibatkan urusan harian anak-anak.

“Tak akan hendak pergi New York sehari sahaja. Ambil masa 10 hari juga ke sana. Saya perlu pastikan tidur yang cukup sebelum proses rakaman selain berdepan cuaca yang sangat sejuk. Hampir 24 jam melakukan penerbangan.

“Namun, saya bersyukur akhirnya perancangan berjalan lancar dan berjaya jejak kaki ke New York, April lalu,” katanya yang berjaya menyiapkan single tersebut dalam tempoh sehari.

BEYONCE PUN DIKECAM 

Ditebak penerimaan single tersebut, ibu dua anak ini berkata, dia terbuka meraikan pelbagai pandangan, maklum balas dan kritikan.

Baginya, itu adalah proses normal bagi mana-mana penyanyi yang muncul dengan produk baharu.

“Saya bukan mahu letakkan diri setaraf Beyonce, tetapi dia yang mempunyai ratusan juta (314 juta) pengikut media sosial juga tetap ada komen yang tidak puas hati.

“Secara umum, ada pendengar termasuk penggiat industri juga yang komen kenapa saya masih buat lagu berentak seperti ini. Kenapa balada, lirik begitu serta tak ikut trend semasa.

“Ini adalah acuan saya. Kalau tiba-tiba saya ubah genre lain tak kena pula. Bila dengar lagu ini, pada saya ia masih pop balada. Saya gembira dan terbuka dengan penerimaan ramai,” kongsinya.

Acap kali membawakan lagu bernada tinggi, single baharu terbitan syarikat rakamannya sendiri, Rag Doll Records tetap dianggap sebagai cabaran besar buat dirinya.

Jelasnya, bukan sahaja sarat dengan melodi yang berat, tetapi lirik lagu ini juga mempunyai maksud yang begitu mendalam.

“Lagu ini antara paling susah pernah dibawa sebab ada long note. Lirik pula kedengaran seperti putus cinta. Kalau dengar lagu ini nanti orang ingat macam saya hendak panggil bekas suami datang semula. Itu memang tidak akan terjadi.

“Sebenarnya, lagu ini boleh membawa pelbagai maksud yang hendak disampaikan kepada pendengar. Ia bukan tipikal lagu cinta tetapi boleh diterje­mahkan mengenai hubungan manusia dengan pencipta, ibu bapa, adik beradik serta sahabat handai.

“Hubungan kita dengan sesiapa pun tak sepanjang masa okey. Ada masa kita bergaduh sampai tak bercakap selama setahun. Manusia juga tidak sempurna. Ada cabaran yang perlu ditempuh dalam mencari maksud hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya