Isu Uptown Pahlawan Walk: Tiada notis arah pindah dikeluarkan

Isu peniaga Uptown Pahlawan Walk: Tiada notis arah pindah dikeluarkan

TANGKAP layar klip video berdurasi dua minit 55 saat yang mendakwa para peniaga sekitar Banda Hilir, Melaka terutama di Uptown Pahlawan Walk diarah berpindah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan notis arah berpindah kepada para peniaga sekitar Banda Hilir di sini, terutama di Uptown Pahlawan Walk seperti didakwa seorang wanita melalui satu klip video berdurasi dua minit 55 saat yang tular sejak semalam.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin menegaskan, tuduhan yang dilemparkan wanita berkenaan dalam media sosial adalah tidak benar, dengan mengatakan seluruh peniaga di Uptown Pahlawan Walk yang berjumlah hampir 200 orang bakal dipindahkan secara paksa.

Katanya, beliau yakin dan percaya bahawa kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan pihak berkuasa negeri tidak akan membunuh ekonomi peniaga-peniaga di kawasan terbabit.

Tegasnya, perbuatan menularkan berita palsu sedemikian disifatkan sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab kerana memaparkan maklumat yang tidak benar.

“Saya ingin nyatakan dengan jelas tiada satu pun notis dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kepada peniaga di sekitar Banda Hilir untuk dipindahkan ke tempat lain.

“Ini kerana kita masih dalam tempoh kajian. Ini adalah satu perancangan kerajaan negeri, namun kajian mendalam kita akan lakukan lagi serta mengambil masa yang panjang.

“Setakat hari ini, saya sebagai Exco yang bertanggungjawab, tiada sebarang notis dikeluarkan kepada mana-mana peniaga di Uptown Pahlawan Walk atau di mana-mana. Memang belum ada lagi,” katanya kepada pemberita selepas Program Menyantuni Peniaga Banda Hilir di Dewan Taming Sari MBMB di sini, malam tadi.

RAIS Yasin bercakap kepada pemberita selepas Program Menyantuni Peniaga Banda Hilir di Dewan Taming Sari MBMB, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Tambah Rais, MBMB baharu sahaja diberi mandat ketika mesyuarat baru-baru ini untuk mengadakan sesi dialog dan perbincangan dengan peniaga terlibat termasuk pengusaha hotel sekitar Banda Hilir.

Menurutnya, tujuan kerajaan negeri merancang mewujudkan zon bebas kenderaan sejauh 2.4 kilometer (km) pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad adalah untuk memastikan Melaka bergelar bandar rendah karbon.

“Pada sesi dialog yang diadakan, secara jelas ada peniaga yang menyatakan persetujuan dan sebahagian pula tidak bersetuju.

“Saya akan turun padang bertemu dengan seluruh peniaga terlibat bagi mendapat maklum balas sebelum keputusan dibawa pada mesyuarat kerajaan negeri, sama ada akan melaksanakan cadangan itu atau tidak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN