BUTTERWORTH: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memaklumkan beliau belum dipanggil polis bagi memberikan keterangan susulan kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).
Beliau bagaimanapun berkata, kerjasama sepenuhnya akan diberikan berhubung siasatan polis berkenaan.
“Akhbar Chinese Press telah mengeluarkan kenyataan berasingan semalam dengan mengatakan portal MalaysiaNow melakukan terjemahan yang salah.
“Bila anda dah terjemah salah, kenapa nak salahkan saya pula?
“Kita faham kalau anda tidak faham Bahasa Mandarin, tetapi janganlah dengan sengaja buat terjemahan silap supaya boleh jadikannya sebagai senjata politik, untuk menjejaskan imej orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung beberapa laporan polis yang dibuat berkait perkara itu.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Jaya dan menghulurkan sumbangan RM200,000 bagi pemasangan alat pendingin hawa di bilik guru sekolah itu.
Tambahnya, buat masa ini, beliau tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal terbabit.
Semalam, Bukit Aman mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Guan Eng berhubung kenyataannya itu.
Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G. S. Suresh Kumar berkata, siasatan dijalankan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa laporan polis berkait perkara berkenaan.
Terdahulu, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.
Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan. – UTUSAN










