Ikan buntal: PKD Kluang, JKNJ diminta hantar segera laporan kertas siasatan - Utusan Malaysia

Ikan buntal: PKD Kluang, JKNJ diminta hantar segera laporan kertas siasatan

NG AI LEE (tengah) meminta pihak berkaitan menyerahkan segera siasatan tentang kematian ibu bapanya akibat memakan ikan buntal pada Mac lalu di Kampung Chamek, Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) diminta menghantar segera laporan tentang perkembangan kertas siasatan kes kematian pasangan suami isteri warga emas selepas memakan ikan buntal, Mac lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan ne­geri, Ling Tian Soon berkata, laporan siasatan tentang kejadian itu telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut pada penghujung Mei lalu namun belum mendapat maklum balas daripada pihak berkenaan.

“Saya mengambil maklum, sidang akhbar waris pasangan warga emas terbabit di Kluang. PKD Kluang dan JKNJ telah diminta menghantar laporan tentang perkembangan kertas siasatan kes tersebut.

“Saya dimaklumkan siasatan oleh PKD Kluang telah selesai dan laporan dihantar ke JKNJ. Seterusnya JKNJ sudah menghantar laporan terbabit kepada DDP agar tindakan selanjutnya dapat diambil.

“Namun belum ada sebarang maklum balas daripada pendakwaan. Saya harap tindakan undang-undang dapat diteruskan secepat mungkin,” katanya mengulas gesaan anak pasangan tersebut, Ng Ai Lee, 51, yang meminta laporan siasatan tentang kes itu diserahkan segera kepada pihaknya.

Tian Soon berkata demikian semasa ditemui selepas melawat Klinik Kesihatan Ayer Hitam di sini semalam.

Dalam insiden Mac lalu, pasangan warga emas, Eng Kuai Sin@ Ng Chuan Sing, 84, dan isterinya, Lim Siew Guan, 83, meninggal dunia dipercayai mengalami keracunan selepas memakan ikan buntal goreng dijual seorang peniaga.

Dalam itu, Tian Soon me­ngakui wujud kekangan dari segi akta kerana terdapat dua akta berbeza, iaitu Akta Makanan 1983 dan Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972 tentang larangan penjualan ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya.

“Seharusnya ada penambahbaikan dari segi akta. Saya pernah suarakannya dalam mesyuarat Exco bersama Menteri Kesihatan sebelum ini.

“Sewajarnya Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai kuasa mutlak ambil tindakan. Ketika ini terdapat percanggahan antara KKM dan Jabatan Perikanan.

“Oleh itu saya minta KKM tambah baik akta sedia ada supaya penguatkuasaan lebih jelas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN