Hilang abang 10 hari selepas hilang adik - Utusan Malaysia

Hilang abang 10 hari selepas hilang adik

MOHAMAD Firdaus Mokhtar tidak menyangka akan kehilangan abangnya, 10 hari selepas kehilangan adik perempuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Tak sangka ini berlaku, 10 hari sebelum ini, kami kehilangan adik, kini abang pula”.

Demikian jelas Mohammad Firdaus Mokhtar, 37, adik kepada Karim Abdullah, 39, mangsa kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu, Sabtu lalu.

Mohamad Firdaus berkata, adiknya, Noorain, 35, meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Kilometer 45 Jalan Pekan-Salong ketika perjalanan dari Felda Chini ke Gambang pada 24 Jun lalu.

Katanya, itulah kali terakhir dia bertemu Karim yang juga abang sulung yang turut hadir melakukan urusan pengebumian adik ketiga mereka.

“Ketika itu abang tidak me­nunjukkan apa-apa perubahan. Cuma isteri saya ada beritahu minta bersalam dengan abang kerana bimbang tidak sempat,” kata anak kedua daripada tujuh beradik itu di sini semalam.

Tambah Mohamad Firdaus, dia menyifatkan Karim sebagai seorang abang yang sangat bertanggungjawab dalam menjaga kelengkapan dan keperluan ahli keluarganya.

Malah katanya, sebelum kejadian pada Sabtu lalu, Karim dikatakan turut mempelawa adik-beradiknya yang menetap di Gambang di sini untuk turut serta aktiviti perkelahan mereka di Jeram Mawar terbabit.

“Tiada adik-beradik yang turut serta kerana ketiadaan kende­raan. Saya pula kebetulan baru sahaja pulang menyambut Aidil­adha. Tapi jika saya tidak pulang beraya, saya ada merancang untuk ke Jeram Mawar,” katanya.

Beliau berkata, pada hari kejadian, salah seorang adik perempuannya terdetik menghubungi Karim namun gagal.

“Ketika adik cuba hubungi, kami masih tidak tahu tentang kejadian. Saya dapat tahu daripada ahli keluarga kakak ipar memaklumkan tentang kejadian dan saya yang menetap di Kedah terus bergegas ke lokasi selepas memaklumkan kepada ahli keluarga,” katanya.

Jelasnya, Karim ada berce­rita kepada adik-beradik tentang lokasi perkelahan mereka itu.

“Abang beritahu dia bekerja di kawasan sekitar dan memang sudah biasa dengan lokasi itu. Mungkin kali ini sudah ajal mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN