SHAH ALAM: Pelakon, Hafidz Roshdi, 29, berharap prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, 29 akan berakhir dengan baik hari ini.
Hafiz tiba di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam sekitar jam 9:11 pagi memakai sut lengkap.
“Insya-Allah harap semua selesai cara baik,” respons Hafidz ringkas ketika ditemui Utusan Malaysia sebentar tadi.
Dalam perbicaraan hari ini Hafidz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abd Kadir, manakala Nurul Shuhada diwakili peguam syarie, Nurfarhana Abd Manaf.
“Hari ini kita akan dapat keputusan pengesahan lafaz cerai sama ada sekali atau dua kali.
“Pihak Hafidz berpendirian sekali iaitu 22 Februari manakala pihak Shuhada mendakwa ada dua kali lafaz cerai,” kata Akberdin.
Terdahulu Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan pengesahan lafaz cerai hari ini di hadapan Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin.
Sebelum ini, peguam syarie mewakili Hafidz iaitu Ummi Kartini Abd Latiff memaklumkan terdapat lafaz cerai di luar mahkamah yang didakwa berlaku sebanyak dua kali.
Nurul Shuhada mendakwa suaminya ada melafazkan cerai melalui aplikasi WhatsApp pada Januari.
Hafidz turut dilaporkan melafazkan cerai kepada Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing kali kedua 22 Februari lalu.
Shuhada memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Februari lalu.
Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya.