Hanya pegawai Imigresen gred KP41 ke atas boleh putuskan NTL

Hanya pegawai Imigresen gred KP41 ke atas boleh putuskan NTL

SAIFUDDIN Nasution Ismail dalam sidang akhbar khas di KDN, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kuasa pemberian Notis Penolakan Masuk (NTL) kepada pengembara hanya akan diputuskan pegawai pengurusan dan profesional Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan gred KP41 ke atas selepas ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, keputusan penukaran autoriti bagi pemberian notis itu yang sebelum ini boleh dikeluarkan pegawai berpangkat lebih rendah akan dikuatkuasakan dalam kadar segera.

Jelas beliau, perkara tersebut merupakan sebahagian daripada langkah untuk memperbaiki pengurusan JIM di pintu masuk negara.

Ini kerana katanya, setiap pengembara yang tiba akan diajukan beberapa soalan asas mengikut amalan antarabangsa Imigresen di mana-mana negara seperti memastikan pengembara mempunyai tiket pulang, wang mencukupi dan alamat yang hendak dituju sebaik tiba di negara.

“Tujuannya untuk elak pengembara yang datang dengan pas sosial daripada bekerja, jadi itu rukun biasa yang menjadi amalan mana-mana undang-undang antarabangsa Imigresen. Jadi pengembara yang datang ke Malaysia kadang-kadang khilaf daripada melihat persediaan itu.

“Oleh itu kita bersetuju untuk bekerjasama dengan Malaysia Airports Berhad (MAHB) bagi menaikkan lebih banyak papan tanda yang memudahkan pengembara ini, sementara mereka menunggu giliran untuk sampai di kaunter, supaya mereka tahu soalan apa yang akan ditanya,” ujarnya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.

Selain itu, Saifuddin berkata, KDN akan mewujudkan meja bantuan (help desk) dalam masa terdekat dengan menempatkan pegawai Imigresen yang boleh berkomunikasi dalam bahasa asing bagi memudahkan urusan masuk dan keluar pengembara.

Katanya, langkah ini adalah satu bentuk penambahbaikan kerana sesetengah pengembara menghadapi kesulitan untuk memahami bahasa komunikasi ketika berhadapan dengan pegawai Imigresen di kaunter.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memohon Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk melihat aspek dan amalan berhubung lantikan sebuah syarikat, Mono Circle Sdn. Bhd. yang menguruskan pengembara dari luar yang dikenakan notis NTL.

Katanya, syarikat berkenaan dilantik oleh syarikat operator penerbangan sejak Februari 2015 bagi menguruskan pembelian tiket pulang serta makan dan minum pengembara yang dikenakan NTL.

“Jemaah Menteri meminta Menteri Pengangkutan melihat semula aspek lantikan ini sama ada ia adalah amalan biasa.

“Kadang-kadang dekat sini yang menimbulkan kekeliruan apabila seseorang dikenakan NTL diminta untuk menyediakan sejumlah wang untuk beli tiket pulang, tetapi mungkin disalah anggap sebagai pegawai Imigresen yang minta duit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya