MIRI: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan akan membuat perbincangan bersama parti gabungan GPS terlebih dahulu sama ada akan membantu ataupun tidak kempen di enam pilihan raya negeri (PRN) di Semenanjung.
“Saya akan berbincang dengan pemimpin GPS terlebih dahulu,” jawabnya dengan ringkas dan tegas ketika ditanya para media sama ada GPS akan terlibat dalam kempen pilihan raya selepas merasmikan Tadika SeDidik Penan di Tutoh Apoh, Kampung Long Leng di sini, hari ini
Baru-baru ini dalam lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ke Sarawak beliau mengharapkan agar pemimpin GPS membantu Barisan Nasional (BN) – yang merupakan sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan untuk menyertai proses kempen PRN yang akan diadakan di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, kelantan dan Terengganu.
Zahid, yang juga Pengerusi BN, telah menjemput pemimpin GPS, termasuk Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk membantu dalam kempen pilihan raya rakan gabungan persekutuannya pada pilihan raya akan datang.
Berucap di Majlis Ngiling Bidai Upacara Penutupan Hari Gawai Dayak di Sri Aman baru-baru ini, Presiden UMNO itu memuji Premier Sarawak kerana berjaya mengekalkan kestabilan politik di Sarawak, sambil menambah jentera pilihan raya BN harus belajar daripadanya pimpinan Sarawak.
“Kestabilan ini perlu dicontohi di peringkat nasional, lebih-lebih lagi menjelang enam pilihan raya negeri di Semenanjung akan datang di mana terdapat banyak isu yang dimainkan oleh parti politik berbeza.
“Oleh itu, kami mohon, kerana saya yakin pengalaman di PRN Sarawak ini yang sudah dilalui di Sarawak ini, boleh kami bincang untuk diguna pakai agar kestabilan Sarawak ini juga dapat dipelajari di enam negeri nanti dan kita harapkan enam negeri ini yang akan menghadapi PRN harus sejajar dengan Kerajaan Pusat,” ujar Ahmad Zahid.
Permintaannya dibuat seminggu selepas Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan bahawa parti gabungan GPS di Sarawak kekal berkecuali dan tidak akan menyertai PRN di negeri lain.
Fadillah berkata, terdapat arahan yang melarang ahli GPS terlibat dalam pilihan raya yang diadakan di luar Sarawak; iaitu ahli GPS yang merupakan menteri dan timbalan menteri boleh melawat negeri yang mengadakan pilihan raya, tetapi penglibatan mereka akan terhad kepada aktiviti berkaitan kementerian dan hanya akan menjelaskan dasar kerajaan.
Sementara itu, Abang Johari ketika berucap dalam Majlis Perasmian Tadika SeDidik Penan di Tutoh Apoh, Kampung Long Leng telah meluluskan peruntukan sejumlah RM2.25 juta oleh kerajaan Sarawak bagi membaik pulih 45 pintu rumah panjang penduduk Penan di Long Leng Layun serta menambah baik prasekolah SeDidik.
“Kami mahu mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menggalakkan kanak-kanak Penan menghadiri prasekolah, mengurangkan keciciran pendidikan dan dengan harapan dapat melahirkan komuniti anak Penan yang mahir dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan karbon dan pemuliharaan hutan.
“Bayangkan dengan latar belakang etnik komuniti mereka yang kuat…mereka boleh membantu dalam membangunkan karbon dan pemuliharaan hutan, sumber kepelbagaian bio kerana kebolehan mereka dalam bidang perhutanan ini, sekali gus mempunyai kebolehan dalam kepakaran dalam saintis berhubung dengan biodiversiti,” tambah Abang Johari.
Pada majlis tersebut, lima prasekolah Sedidik Penan dilancarkan serentak yang terletak di Ba’Selulong, Long Kawa Long Leng, Long Kerangan dan Long Jenalong.- UTUSAN










