GEM yakin Kerajaan Perpaduan noktahkan isu ekonomi gig - Utusan Malaysia

GEM yakin Kerajaan Perpaduan noktahkan isu ekonomi gig

PEKERJA p-hailing berharap pertemuan Perdana Menteri dan syarikat pengendali mampu merungkai tiga isu pokok yang dihadapi pekerja sektor itu ketika ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) yakin Kerajaan Perpaduan hari ini dapat menoktahkan segala isu dan permasalahan berpanjangan di dalam mengawal selia ekosistem industri ekonomi gig secara komprehensif dan holistik melalui penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM).

Sekretariat GEM dalam satu kenyataan berkata, GEM menzahirkan ucapan terima kasih di atas komitmen dan kesediaan Kerajaan Perpaduan menyelesaikan kemelut industri e-hailing dan p-hailing di Malaysia.

“Komitmen yang dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa program Temu Anwar bersama Belia P-hailing di Petaling Jaya memberikan kelegaan kepada semua penggiat gig yang selama ini berjuang mendapatkan keadilan dan hak yang terabai.

“GEM menyambut baik kenyataan Perdana Menteri yang dilihat senada dan seirama dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tentang keperluan mengadakan sekretariat dan jawatankuasa bagi membolehkan kerajaan membantu warga e-hailing dan p-hailing dengan lebih efektif dan berkesan,” katanya semalam.

Justeru katanya, GEM yakin gerak kerja sekretariat ini seiring dengan hasrat kerajaan untuk menubuhkan SEGiM secepat mungkin bagi menambah baik perlindungan sosial serta kebajikan penggiat industri gig seperti yang dicadangkan oleh Ahmad Zahid.

Sebelum ini media melaporkan, Anwar berjanji akan memanggil kesemua syarikat pengendali p-hailing bagi memberikan penjelasan terhadap beberapa isu dihadapi penghantar makanan dan barang ketika ini.

Ini selepas salah seorang penghantar makanan mendakwa kadar penghantaran ketika ini semakin menurun daripada RM7 ke bawah, sekali gus mengurangkan pendapatan mereka.

Pada masa sama, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi menubuhkan sekretariat p-hailing dalam usaha menyelaras kegiatan ekonomi gig dan pekerja tidak formal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN