Gangguan bekalan air ‘ragut’ kemeriahan kenduri - Utusan Malaysia

Gangguan bekalan air ‘ragut’ kemeriahan kenduri

ASMADI Mohamed menunjukkan air telaga tiub yang tidak berkualiti digunakan untuk mencuci tangan sepanjang kenduri diadakan di rumahnya di Kampung Raja Dagang, Pasir Puteh, Kelantan. – MINGGUAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Kemerian majlis kenduri perkahwinan, kesyukuran, akikah dan ibadah korban di sekitar Semerak di sini bagaikan ‘diragut’ selepas kawasan itu dilanda masalah gangguan bekalan air.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, lebih 10 buah keluarga yang mengadakan kenduri berdepan kesukaran susulan gangguan tersebut.

Seorang penduduk Kampung Raja Dagang, Asmadi Moha­med, 59, berkata, situasi itu menyebabkan dia terpaksa membeli air bersih di daerah Besut, Terengganu untuk memasak gulai dan nasi.

Menurutnya, pada masa sama dia terpaksa menggunakan air telaga tiub yang keruh untuk membasuh tangan disebabkan tidak mempunyai pilihan.

“Pihak pengendali perkhidmatan iaitu Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) sepatutnya peka dengan penduduk terutama pada Hari Raya Aidiladha.

“Saya memilih mengadakan kenduri akikah cucu pada sam­butan Hari Raya Aidiladha ke­rana memikirkan ramai sanak-saudara pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Asmadi memberitahu, dia terpaksa meneruskan majlis kerana ia sudah dirancang sejak dua minggu lalu.

Seorang lagi penduduk di Pekan Cherang Ruku, Zailani Ya, 57, berkata, kenduri di rumahnya terpaksa diteruskan dengan menggunakan air minuman yang dibeli untuk memasak makanan dan penyediaan minuman.

Katanya, AKSB sepatutnya cakna dengan tampil membekalkan air kepada penduduk bagi memberikan kemudahan untuk melaksanakan kenduri.

“Kerja-kerja baik pulih sepatutnya dilakukan di luar musim perayaan. Saya harap pemimpin atasan AKSB lebih bijak dalam membuat perancangan selepas ini.

“Janganlah mengamalkan sikap seolah-olah ‘melepaskan batuk di tangga,” jelasnya.

Sementara itu, jurucakap AKSB ketika dihubungi berkata, bekalan air bersih terputus di kawasan Semerak disebabkan kerja-kerja kecemasan membaiki loji air di Bukit Peraksi sejak kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya