PETALING JAYA: Susulan kejayaan konsert sulung di ibu kota tahun lepas, penyanyi asal Indonesia, Fiersa bakal kembali mengubat rindu peminat menerusi konsert di Kuala Lumpur, tahun ini.
Konsert istimewa Berjalan Mundur by Fiersa Besari Live in Kuala Lumpur akan dipentaskan di Zepp, Kuala Lumpur pada 23 Ogos depan.
Fiersa dalam kenyataan memaklumkan terinspirasi untuk kembali beraksi Malaysia selepas menerima sokongan tidak berbelah bahagi peminat tempatan terhadap karya muziknya.
“Kembali ke Kuala Lumpur dan dapat berdiri di hadapan peminat adalah penghargaan terbesar buat saya.
“Sokongan tidak berbelah bahagi dan keterujaan peminat di Malaysia memberikan inspirasi untuk saya mempamerkan persembahan yang tidak mungkin dilupakan.
“Keterujaan peminat membuatkan saya yakin konsert ini bakal menjanjikan pengalaman luar biasa dan bermakna buat semua yang hadir nanti,” katanya.
Fiersa merupakan pemuzik kelahiran Bandung, Indonesia yang memulakan kerjaya seninya sekitar tahun 2009 bersama sebuah band indie di negara tersebut.
Penyanyi berusia 39 tahun itu pernah tampil dengan beberapa buah album termasuk 11:11, Tempat Aku Pulang (2012), Konspirasi Alam Semesta (2015), Album 20:20 (2020) dan Berjalan Mundur (2022).
Fiersa sempena konsert itu nanti bakal membawakan 18 lagu hits termasuk lagu-lagu popular seperti April, Waktu Yang Salah dan Celengan Rindu. Katanya selain persembahan sepenuh hati, dia juga bakal tampilkan kejutan untuk peminat.
“Setiap lagu akan saya bawakan dengan sepenuh hati kerana saya mahu konsert itu nanti membekas pengalaman bermakna buat peminat.
“Janji saya akan ada kejutan dan kelainan pada susunan muzik dalam beberapa lagu kegemaran ramai, namun jati diri Fiersa sebagai penyanyi dan pemuzik tidak sesekali dipinggirkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemasaran Seraya Group, Intan Dhenisya Putri berkata, Berjalan Mundur By Fiersa Besari Live In Kuala Lumpur juga menjadi titik permulaan bermakna buat penyanyi itu dalam meraikan 14 tahun beliau berkarya.
“Kali terakhir Fiersa beraksi dalam konsert solo adalah pada tahun 2020 di Jakarta. Bagi memaknakan lagi kemunculan album terbarunya, Berjalan Mundur yang dilancarkan pada November lalu, kami turut menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi persinggahan konsert.
“Kemunculan pertama Fiersa di sini, tahun lalu menerima respons yang cukup luar biasa daripada peminat. Fiersa begitu terharu, tambahan pula ia persembahan pertamanya di luar Indonesia.
“Justeru, kami memutuskan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai antara destinasi siri konsert ini bagi mengubati kerinduan peminat terhadap lagu-lagu nyanyian Fiersa,” katanya.
Tiket untuk menyaksikan persembahan Fiersa dijual pada harga RM159 (Runtuh), RM198 (Garis Terdepan), RM301 (Juara Kedua) dan RM3,403 (Rumah – VVIP Box untuk 8 orang) boleh diperoleh menerusi pautan: ticket2u.com.my bermula 2 Julai.
Layari Instagram Seraya Live (@serayalive) dan saluran media sosial rasmi Fiersa Besari untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert penyanyi itu di Kuala Lumpur.