KUALA LUMPUR: Kemenangan Elly Mazlein menggenggam trofi Pengacara TV Popular di Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) tidak menjadikannya putih mata soal bayaran.
Dia harus realistik memikirkan harga bayaran bakat (talent fee) walaupun sudah bergelar penerima anugerah berprestij kerana industri hiburan di Malaysia tidak sebesar Hollywood.
“Memadailah jika harga yang dikenakan setimpal. Kita tak boleh nak letak harga yang terlalu tinggi sebab industri kita tidak sebesar Hollywood.
“Saya lebih suka ada ‘win-win situation’ dan paling penting saya gembira untuk buat program tersebut.
“Meletakkan harga yang terlalu tinggi akan ‘membunuh’ diri sendiri,” katanya semasa sidang akhbar pemenang ABP, semalam.
Elly atau lebih mesra dipanggil Kak Lina tidak dapat menahan sebak menggengam trofi yang diidamkannya selama ini.
Baginya, usaha selama dua dekad berkecimpung dalam dunia seni terbayar berkat sokongan keluarga, peminat dan suaminya.
“Suami saya sangat memahami. Bila saya sibuk dia yang jaga anak-anak. Dia tahu saya cuba buat yang terbaik.
“Alhamdulillah setelah 20 tahun dah lama saya tunggu saat ini.
“Terima kasih kepada peminat yang menyokong saya sehingga hari ini. Anda ada di saat susah sehingga sekarang, saya sangat bahagia,” katanya.
Elly Mazlein mengalahkan Alif Satar, Hawa Rizwana, Janna Nick dan Sherry Alhadad yang bertanding dalam kategori Pengacara TV Popular.