Dua warga asing bunuh pemandu e-hailing dihukum gantung - Utusan Malaysia

Dua warga asing bunuh pemandu e-hailing dihukum gantung

Gantung
SUA Lay (kiri) dan Gurpreet Singh diiringi polis keluar dari Mahkamah Tinggi selepas dijatuhi hukuman gantung apabila didapati bersalah membunuh seorang pemandu e-hailing, dekat Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua warga Myanmar dan India dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi, hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang pemandu e-hailing tempatan lima tahun lalu.

Perbuatan terhadap mangsa Aiman Nosri, 27, itu berbalas apabila Sua Lay, 38, dan Gurpreet Singh, 28, dijatuhkan hukuman demikian oleh Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Nurulhuda dalam penghakiman memberitahu tiada pembelaan yang timbul dan berbangkit berhubung kejadian pembunuhan pemandu e-hailing ini kerana alasan kedua-dua tertuduh yang tidak boleh memahami Bahasa Melayu juga tidak boleh diterima.

Mereka boleh memberikan arahan berhenti awal dari tempat dituju selain memandu arah kepada penemuan kunci kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa.

“Mangsa juga lemas akibat dijerut dan ada kecederaan pada leher selain penemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) kedua-dua tertuduh pada tali pinggang keledar bahagian pemandu. 

“Walaupun tidak dikatakan (tindakan) zalim, tetapi faktanya mayat (mangsa) ditinggalkan dalam kereta. Ini menunjukkan tertuduh tiada perasaan belas kasihan terhadap si mati. Atas alasan itu, saya bersetuju hujahan pihak pendakwaan dan hukuman gantung sampai mati kepada tertuduh,” katanya. 

Mengikut pertuduhan, Sua Lay, 38 dan Gurpreet Singh, 28, didakwa dengan niat bersama-sama membunuh Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, lorong belakang Blok C, Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves dekat sini pada pukul 10.08 malam, 21 Jun 2018.

Sabit kesalahan mereka boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu pada prosiding tersebut, kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Siti Anis Che Ab. Wahab dan Peguam Muhamad Amirul Jamaluddin memohon agar anak mereka hanya dikenakan penjara dan  sebatan berdasarkan peruntukkan baharu dalam Seksyen 302. 

“Pembunuhan dalam kes ini juga bukan brutal dengan penggunaan senjata. Penjatuhan hukuman sekiranya diteruskan mahkamah jarang sekali meletakkan maksimum sebaliknya (hanya) kepada penjenayah tegar dan kecam. Mohon penjara 30 tahun dan 12 sebatan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail dalam hujahan pemberatan hukuman menjelaskan, menjatuhkan hukuman bukannya satu formaliti dan kerja rutin mahkamah, tetapi ia berdasarkan kepada falsafah dan tujuannya sendiri.

“Kesalahan membunuh adalah satu kes yang amat serius dengan tertuduh telah melakukan satu kesalahan jenayah keji. Fakta bahawa mereka datang ke negara ini untuk mencari rezeki walaupun telah diusir sebanyak dua kali sebelum ini menunjukkan bahawa Malaysia merupakan destinasi terbaik untuk mereka. 

“Justeru, hukuman gantung dianggap setimpal kepada mereka selepas didapati bersalah,” katanya. 

Seramai 18 saksi pendakwaan telah dikemukakan dengan kedua-dua tertuduh memilih memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi sebelum ini dengan keseluruhan prosiding bermula 21 Januari 2021 hingga 18 Mei lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya