Mukadimah
TIDAK mahu meletakkan sasaran jumlah hari dalam mengurangkan kadar jenayah di Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain yang diamanahkan mengemudi Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur ternyata mahu bertindak membanteras jenayah dari akar umbinya.
Tambahan, kepakaran dan pengalaman bertugas di Kosovo, diyakini mampu menterjemahkan dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat untuk didiami dan dikunjungi.
Dengan ikrar kesetiaan setiap pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada raja dan negara, bukan kepada mana-mana parti politik, beliau mahu memastikan setiap anggota di bawah kepimpinannya bersedia berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan yang memerintah.
Wartawan Mingguan Malaysia, MASZUREEN HADZMAN berpeluang menemu bual Mohd, Shuhaily selepas beliau genap sebulan satu hari memegang jawatan sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur. Ikuti wawancara ini yang dibantu oleh jurugambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH.
Mingguan: Pengalaman di Kosovo dan Amerika Syarikat adakah akan digunakan Datuk dalam PDRM?
Pengalaman di dua negara itu sememangnya banyak membantu dalam karier saya sebagai anggota polis. Ketika tiba di Kosovo, umur saya baru 30 tahun. Ketika itu juga negara itu baru lepas berperang. Di sana, saya dapat rasakan perit jerih orang tempatan yang masih mencari tempat untuk mereka selepas dijajah sekian lama.
Ketika itu, walaupun mereka cerdik dan terpelajar sekali pun, disebabkan negara baru merdeka, mereka dilaya seolah-olah seperti budak tadika yang tiada apa dan tiada siapa yang hormat dan peduli disebabkan mereka tiada negara. Disebabkan itu, saya selalu fikir, Malaysia tidak boleh kembali semula ke zaman penjajahan. Jika negara kita sekali lagi kalau dijajah, agak susah untuk kita bangunkan semula. Orang luar tidak akan bagi peluang pada kita untuk menyatakan tanah yang ada ini milik kita. Sebab itu, kita tidak boleh jatuh dan dijajah. Kita tidak boleh patah balik seperti apa yang berlaku pada 13 Mei (1969) dulu. Kita tidak boleh main sentimen seumpama ini. Rakyat perlu tahu, bila Malaysia jatuh, orang tidak mahu berurusan dengan kita seperti mana Malaysia yang kita pernah miliki dahulu.
PEMBAHARUAN
Pembaharuan yang Datuk mahu lakukan sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur?
Saya tidak mahu tergesa-gesa untuk menyatakan pembaharuan yang ingin dibuat memandangkan saya masih belajar untuk memahami keadaan dan kehendak masyarakat di Kuala Lumpur.
Mungkin dari sudut pengurusan, ada orang akan minta 100 hari atau bulan tertentu untuk tunjuk tindakan mereka, tetapi saya akan buat terus, kalau sempat dilaksanakan, sempatlah, kalau tidak sempat, tidak sempatlah. Saya tidak mahu meletakkan hari dalam membuat keputusan atau perkara terutamanya dalam menurunkan kadar jenayah. Bagi saya, jenayah itu akan sentiasa ada dalam kehidupan masyarakat. Saya perlu kaji dari pelbagai sudut untuk capai keputusan lebih berfokus.
Jenayah di Kuala Lumpur mungkin beri impak kepada negara. Komen Datuk?
Mengikut statistik, kadar jenayah di Kuala Lumpur sememangnya tinggi berbanding negeri lain kerana taraf ibukota dan kepadatan penduduk itu sendiri. Oleh itu,kalau kita ambil statistik Jenayah di Kuala Lumpur sebagai pengukur kepada kadar jenayah negara, saya rasa itu tidak adil, sebab Kuala Lumpur hanya merangkumi 2 ke 3 juta penduduk berbanding jumlah keseluruhan penduduk negara yang hampir 34 juta orang.
Namun impak imej yang negatif sememangnya wujud kepada negara, contohnya semua ibukota besar dunia tidak lari daripada imej yang tercalar kesan akibat aktiviti jenayah. Imej ini mungkin akan turut menjejaskan sudut ekonomi kerana ia memberi gambaran Malaysia negara yang tidak selamat hanya kerana sesuatu kejadian itu berlaku di Kuala Lumpur. Oleh itu, saya memberi kata dua kepada anak buah saya pada hari pertama lagi bahawa Polis Kuala Lumpur tidak boleh gagal; gagal Kuala Lumpur gagal seluruh PDRM. Insiden di mana seorang anggota telah memeras warga China baru-baru ini adalah contoh terbaik yang harus dijauhi oleh anak buah saya.
Pendekatan membanteras jenayah?
Memahami demografik penduduk, sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat setempat adalah kaedah yang saya gunakan di Pulau Pinang selama 22 bulan saya di sana. Alhamdullilah, memahami demografik yang didahului oleh kaum Cina, dikuti Melayu dan India, saya rasa senang mendampingi masyarakat setempat di Pulau Pinang. Dalam bulan pertama saya di sana, saya bawa pegawai saya melawat Muzium Peranakan Pulau Pinang hanya untuk membuka mata mereka akan salur galur masyarakat Pulau Pinang yang mana saya rasa ramai sedia maklum akan keberadaan masjid, tokong dan kuil yang begitu hampir antara satu sama lain. Diceritakan juga ada fatwa negeri pernah dikeluarkan kepada masayrakat Islam Pulau Pinang satu ketika dahulu supaya berhenti terlibat dalam aktiviti haram kerana ia bercanggah dengan ajaran agama Islam. Memahami ini semua akan muncul penghayatan untuk berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama kerana kesatuan itu wujud sekian lamanya.
Macam di Kuala Lumpur, susah sedikit untuk memahami sosiobudaya di sini memandangkan semangat kewilayahan kurang dan ramai yang ada di Kuala Lumpur adalah yang berhijrah mencari rezeki. Justeru semangat itu kurang. Bila saya tanya mereka orang mana, mereka akan jawab orang Kedah lah, Pulau Pinang lah jadi agak sukar untuk menyelami isi hati mereka berkenaan Wilayah Persekutuan. Itu yang saya sedang fikir macam mana mahu mendekati masyarakat di sini dan memahami mereka memandangkan majoriti yang tinggal di sini berasal dari seluruh negeri. Belum lagi diambil kira warga asing tinggal di Kuala Lumpur.
Saya perlu memahami keadaan di lapangan, sebagai contoh, kalau kawasan itu ramai dari Kelantan, saya perlu letak pegawai dari negeri sama untuk dekati mereka. Mungkin pendekatan ini lebih berkesan dalam melakukan pembanterasan jenayah di kawasan itu. Saya akan terus menilai dan mencuba.
KONGSI GELAP
Pandangan Datuk terhadap kegiatan kongsi gelap di Kuala Lumpur?
Kegiatan kongsi gelap ini sudah lama bertapak bukan sahaja di Kuala Lumpur. Sehingga ke hari ini kita masih belum mampu menghapus aktiviti haram ini secara tuntas. Oleh itu, strategi saya lebih kepada memperkasakan masyarakat.
Kehadiran polis di sesuatu tempat serba sedikit dapat menjauhkan masyarakat daripada terjebak dalam aktiviti kongsi gelap. Sebagai contoh di Pulau Pinang dahulu, saya akan turun untuk bersama masyarakat, tanpa saya sedar ia memberi impak positif kepada masyarakat setempat. Kehadiran saya dan pegawai saya memberi gambaran penduduk kawasan itu mempunyai hubungan baik dengan Polis. Dengan syarat hubungan tersebut harus telus dan ikhlas diantara kedua-dua pihak.
Saya akan buat perkara ini sedikit demi sedikit. Bila saya sendiri turun ke lapangan, sudah pasti Ketua Polis Daerah (KPD) akan turut sama turun, bila KPD turun, pegawai dia pasti akan turun. Keadaan ini sedikit sebanyak membantu masyarakat dan polis mengenali antara satu sama lain. Sama ada pendekatan sama ini berhasil di Kuala Lumpur, saya akan teruskan dengan penilaian trial and error. Sesuai atau tidak menggunakan pendekatan itu. Sebab itu, saya tak nak datang sini untuk berjanji saya akan turunkan kadar jenayah dan sebagainya.
Di sini letaknya keikhlasan bekerja. Saya ambil peluang (ketika di Pulau Pinang) bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu kerana mereka adalah pemimpin masyarakat. Kadang-kadang mereka ini lebih tahu apa yang berlaku daripada detektif polis memandangkan ada berasal dari kawasan itu. Mereka ini lebih kenal siapa terlibat jenayah, siapa kepala ‘gangster’. Sebab itu, perlunya turun ke lapangan bertemu masyarakat dan budaya ini kian luntur. Saya telah meminta semua KPD Kuala Lumpur mengambil pendekatan seperti ini bukan sekadar retorik tetapi bersama masyarakat membenteras jenayah.
Polis bukan berkhidmat kepada parti politik tetapi rakyat. Dalam konteks jenayah, saya tidak berkhidmat untuk mana-mana parti politik. Dia PKR, UMNO, DAP atau mana parti politik sekali pun kami tetap berkhidmat untuk rakyat. Anda (wakil rakyat) duduk di kerusi itu melalui proses demokrasi dan dipilih rakyat, jadi adil. Rakyat mungkin mahu pemimpin yang mereka pilih membantu mereka, saya pula penjawat awam akan tetap memberi khidmat sama iaitu masyarakat. Pemimpin yang dipilih akan berkhidmat untuk kawasan dia jaga, kami pula perlu berkhidmat untuk masyarakat yang tinggal di kawasan mereka. Tidak bermaksud, kawasan itu pemimpinnya DAP, kami tidak boleh membantu rakyat di situ. Kepolisian melangkaui warna kulit, bangsa dan agama.
Dikenali sebagai ketua Polis lantang?
Antara kelemahan saya adalah kelantangan saya. Kelantangan saya adalah mencabar kepincangan dalam konteks kerja harian polis. Dalam konteks kepolisian ini saya rasa ada kepincangan juga. Kepincangan ini berlaku secara tidak sedar dan terlalu memberi focus kepada proses kerja iaitu siasatan yang membawa kepada pendakwaan. Selesai. Pada saya kerja tidak akan pernah selesai kerana polis tidak pernah menyelesai masalah atau root cause kepada jenayah-jenayah yang berlaku dalam masyarakat.
Justeru, soalan root cause ini selalunya di luar konteks siasatan dan akhirnya pihak Polis hanya berbangga dengan kumpulan statistik sahaja tanpa sedar masalah utama tidak pernah diselesaikan. Oleh itu, soalan di luar kotak siasatan yang saya lontarkan kepada pegawai penyiasat saya selalu tiada jawapannya kerana tidak pernah ditanya. Berlainan pula dengan saya. Di Pulau Pinang, kami akan kaitkan apa yang berlaku dengan dasar-dasar yang ada. Kes tertentu kita kumpulkan dan buat rumusan dan rumusan itu akan kita kongsikan dengan pembuat dasar dan NGO-NGO yang sudi membantu. Benda ini tiada dalam mentaliti pegawai di siasatan jenayah namun saya lihat perubahan di Georgetown, SPU, Barat daya apabila KPD ada memohon dan memanjangkan masalah setempat kepada mereka yang boleh membantu merubah sosiobudaya tersebut.
Kekangan jenayah komersial
Pada pendapat saya jenayah komersial hari ini dicabar oleh kepantasan teknologi komunikasi dan siber serta perihal jurisdiction. Kejayaan mengesan calling center adalah hasil risikan konvensional yang semakin sukar kerana aktiviti ini berlaku di tempat yang sukar dipantau contohnya di kondominium mewah, pejabat yang mempunyai sistem pengawasan yang tinggi dan kawasan elit yang dijaga oleh syarikat keselamatan awam. Namun itu bukan alasan kepada pegawai komersial melakukan serbuan yang berjaya.
Seperkara lagi yang mencabar kami adalah perihal jurisdiction kerana adalah menjadi suatu kebiasaan bahawa mangsa yang ditipu adalah warganegara asing yang berada di negara asal mereka. Dalam ertikata lain dan mudah, jenayah yang berlaku sebenarnya di negara lain dan melibatkan bukan warganegara Malaysia namun calling center itu berada di Malaysia. Ini adalah kekangan yang dihadapi oleh pegawai komersial PDRM. Justeru, kerjasama dengan pihak MCMC dan pihak bank sentiasa tagih dalam cuba menyelesai kes-kes scam ini.
Bimbang jenayah ponografi
Hari ini, apa yang cukup membimbangkan saya adalah akses kepada bahan-bahan ponografi. Tiada kajian korelasi yang mengatakan bahawa pendedahan kepada bahan-bahan ini menyebabkan kes rogol meningkat. Namun statistik jenayah rogol sememangnya menunjukkan peningkatan dan secara amnya, ianya banyak melibatkan kes-kes seksual bawah umur yang secara automatiknya akan diklasifikasikan sebagi rogol.
Kebanyakan kes jenayah ini berlaku suka sama suka. Tetapi bila melibatkan kanak-kanak bawah umur tindakan perlu diambil. Ia banyak berlaku dalam masyarakat kita seawal umur 12 dan 13 tahun. Tiada kajian yang mengkaji sama ada penggunaan telefon pintar menjadi penyumbang kepada peningkatan rogol dan judi. Perkara-perkara seumpama ini kita perlu kaji. Kita perlu lihat kepada dasar-dasar pendidikan yang ada kerana ia melibatkan anak-anak kita yang terdedah kepada bahan-bahan seperti dengan bgitu mudah zaman ini.
Jadi tidak salah saya katakan parenting skill pada zaman sekarang ini kena berubah. Ibu bapa perlu diajar bagaimana untuk mengawasi dan mengendalikan anak mereka. Mungkin ada sesetengah anak-anak ini akan memberontak jika dirampas atau disekat penggunaan telefon pintar mereka. Sebagai ibu bapa mungkin tahu apa yang anak-anak lakukan di depan kita, tetapi kita perlu ingat, ibu bapa ini perlu berdepan satu lagi dunia anak mereka iaitu dunia siber.
Sebagai contoh, ketika di Pulau Pinang, terdapat dua atau tiga kes yang mana bila ibubapa marah, mereka kurung anak dalam bilik. Tetapi kanak-kanak ini tidak kisah memandangkan mereka masih boleh berinteraksi dengan kawan-kawan di luar menggunakan telefon bimbit mereka. Bila kena kurung mula teman lelaki hubungi. Bila berhubung ajak jumpa, bila jumpa jadi perkara-perkara tidak baik yang kemudian terpaksa diklasifikasikan sebagai rogol.
Jadi siapa yang nak melihat benda-benda seumpama ini kalau bukan kami? Sebab itu, saya kata kita sebagai pegawai penyiasat perlu pergi lebih jauh daripada kertas siasatan yang dibuka. Soalan-soalan untuk lengkapkan siasatan bagi pendakwaan memang perlu ada, tetapi saya perlukan lebih lagi kerana masalah yang berlaku bukan sebab kita tidak buat kerja tetapi keadaan masyarakat itu.
Kita perlu maklum kepada masyarakat apa sebenarnya berlaku dan jangan bergantung kepada statistik tangkapan, pendakwaan. Ada jenayah berlaku kerana ketidaksesuaian dengan keperluan masyarakat dan ada berlaku kerana kealpaan masyarakat dan ada berlaku kerana sifat pelaku itu sendiri.
TIDAK MESRA MEDIA
Datuk dilihat sebagai pegawai polis yang ‘tidak mesra media’, komen?
Latarbelakang saya adalah draipada Cawangan Khas maka saya sememnagnya tidak suka berada di depan lensa mahupun dalam liputan akhbar. Namun itu berubah sejak saya menjadi Ketua Polis Pulau Pinang dan mempunyai prinsip bahawa saya bukan dan tidak perlu menjual cerita kerana tugas saya bukan mensensasikan fakta kes. Justeru, ketegasan saya sentiasa dilihat sebagai tidak mahu berkongsi maklumat. Ada fakta yang boleh saya kongsi dan ada fakta tidak boleh. Contoh kes bunuh diri, sebagai seorang warga Malaysia dan manusia biasa, si mati ada yang akan meninggalkan isteri, suami, ayah atau ibu dan rasa cukup bertanggungjawab untuk tidak mahu menyusahkan mereka dengan persepsi masyarakat sekiranya saya dedahkan motif bunuh diri. Oleh itu, selling news is not my business dan media harus adil kepada saya yang hanya mahu media to tell the news.
Isu Integriti Polis
Perkataan integriti ini luas cuma saya telah mengingatkan warga kerja Kuala Lumpur bahawa kita angkat sumpah setia dan percaya dengan kepemimpinan tetapi apabila keputusan yang tidak kena dengan kita yang dibuat pucuk kepimpinan kita tidak patut berkongsi atau meluahkannya di luar. Sesiapa yang bagi maklumat dalaman ini (kepada pihak luar termasuk blogger) adalah pengkhianat kepada pucuk pimpinan.
Orang seperti ini yang patut kita buang kerana kawan-kawan lain berkorban sanggup tidak dinaikkan pangkat atau dinafikan kenaikan tapi masih terus setia kepada pucuk pimpinan. Ketua Polis Negara tidak mampu puaskan hati semua orang. Kita kena terima kenyataan itu. Kalau kita tidak dapat apa yang kita mahu, anggap rezeki itu Allah SWT belum mahu bagi.
Bagi saya kekuatan PDRM adalah ketaatan. Kami taat kepada pemimpin negara. Cacian masyarakat cakap kami ‘anjing kerajaan’ dan pelbagai lagi kata nista, kami telan dan terus setia kepada Raja dan negara. Ditambah pula kekurangan dari segi perjawatan, kewangan dan aset. Kami tetap taat dan setia. Tangga gaji anggota pangkat rendah yang berada di tahap B40 namun mereka setia bersama saya dan pucuk pimpinan PDRM. Ada juga yang gugur di tengah jalan kerana desakan hidup dan mengambil jalan mudah menerima rasuah. Tapi sekelompok besar kami masih setia dalam serba kekurangan.
Pesanan kepada warga Polis KL
Kembalilah kepada semangat kerja yang sepatutnya. Bekerja dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas. Pegang kepada ini. Kalau mahu ikutkan kehendak kerja, kita semua boleh dianggap ahli syurga kerana membantu orang susah. Masyarakat yang datang ke balai polis, bukan mahu bertanya khabar kita tetapi datang untuk kita bantu menyelesaikan masalah mereka. Jika kita ambil semangat itu, sekurangnya ia memberi kita pahala kerana membantu mereka. Jadi, kamu pilih apa yang kamu mahu buat. Saya tidak boleh mengubah pasukan tetapi saya hanya boleh mengubah diri saya. Itu pun payah. Macam mana saya nak minta orang berubah. Jadi. Saya hanya boleh tunjuk dan beritahu apa yang kita perlu buat. Kalau elok ikut, kalau tidak elok jangan ambil. Itu sahaja yang saya boleh buat kerana saya bukan hero. – MINGGUAN MALAYSIA










