EXTRACTION 2 lakonan Chris Hemsworth yang disiarkan di platform penstriman Netflix sejak 16 Jun lalu, mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat filem Hollywood.
Selain filem yang sarat dengan aksi mendebarkan, sudah tentu pelakon utamanya menjadi tumpuan penonton.
Pelakon berasal dari Australia yang memulakan karier di Hollywood menerusi filem Thor, Chris Hemsworth mendedahkan mahu penampilan berbeza menerusi filem aksi tersebut.
Dikenali dengan imej berbadan tegap dan sado, aktor berusia 40 tahun itu perlu berusaha mengurangkan berat badan agar menjadi lebih tegap dan lincah kerana banyak aksi lagak ngeri yang perlu dilakukan sendiri.
Bagi tujuan itu, dia juga perlu mengecilkan saiz biceps bagi menggalas watak sebagai anggota komando.
“Watak Thor memerlukan saiz badan atletik, manakala, Extraction 2 pula memerlukan saiz atletik lebih besar.
“Filem ini menuntut latihan pertarungan paling meletihkan yang pernah saya sertai,” katanya menerusi temu bual bersama majalah GQ.
Sebelum ini, Hemsworth perlu menambah berat badan menerusi watak yang dijayakan dalam filem adiwira Thor.
Kongsinya, ketika pandemik Covid-19, dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan rutin hariannya hanya berlatih dan makan.
Bagi mencapai sasaran itu, Hemsworth akan kehilangan saiz tubuh yang besar bagi mencapai fizikal atletik.
Bapa tiga anak itu perlu kekal sihat sepanjang masa bagi mengekalkan tenaga yang diperlukan sepanjang adegan yang sarat aksi mendebarkan dalam sekuel Extraction itu.
MISI RAGUT NYAWA
Menggalas watak utama bernama Tyler Rake, Hemsworth muncul semula sebagai tentera upahan bagi operasi hitam Australia.
Kali ini, dia ditugaskan dengan sebuah lagi misi yang bakal meragut nyawanya demi menyelamatkan sebuah keluarga yang didera oleh kumpulan samseng Georgia yang kejam dari sebuah penjara.
Filem yang sohor kini dalam Netflix turut dibintangi oleh Olga Kurylenko, Idris Elba, Golshifteh Farahani, Adam Bessa, serta Daniel Bernhardt.
Sekuel pertama yang disiarkan pada 2020 melonjak popular selepas berjaya meraih 99 juta tontonan hanya dalam tempoh empat minggu ditayangkan.
Filem ini diarahkan oleh Sam Hargrave dan skrip ditulis oleh Joe Russo berdasarkan novel Ciudad. Naskhah yang cukup istimewa ini turut menampilkan bekas juara seni pertahanan diri, Megan Anderson.– AGENSI