KOTA KINABALU: Peratusan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang mendapat lulus penuh dalam lima mata pelajaran di Sabah menurun kepada 4.63 peratus berbanding 5.89 peratus pada STPM 2021.
Timbalan Pengarah (Sektor Pengurusan dan Perancangan Pejabat Pendidikan Daerah) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Mohd. Zaini Yanin berkata, daripada 7,001 calon yang menduduki peperiksaan STPM 2022, seramai 6,921 orang atau 98.86 peratus calon lulus penuh bagi kesemua mata pelajaran yang diambil.
Beliau berkata, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) bagi SPTM di Sabah kali ini meningkat kepada 2.72 peratus berbanding 2.71 peratus pada tahun 2021.
Katanya, perbezaan PNGK yang kecil itu tidak menggambarkan signifikan yang besar kepada pencapaian calon STPM 2022, berbanding tahun sebelumnya.
“Peratusan calon lulus penuh dalam empat mata pelajaran pula menunjukkan peningkatan sebanyak 2.4 peratus iaitu daripada 66.10 peratus pada STPM 2021 meningkat kepada 68.59 peratus pada tahun ini,” katanya semasa pengumuman keputusan STPM 2022 negeri Sabah di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, hari ini.
Menurut beliau, jurang perbezaan lulus antara bandar dan luar bandar di Sabah meningkat daripada 1.05 peratus pada tahun sebelumnya kepada 3.24 peratus pada STPM 2022.
Mohd. Zaini berkata, dari segi pencapaian individu, seramai 75 orang calon memperoleh PNGK 4.0 berbanding 60 orang pada SPTM 2021. Ia menunjukkan peningkatan seramai 15 orang.
“Sementara itu, calon yang meperoleh keputusan 5P seramai 324 orang manakala, 4P seramai 4,802 calon, 3P seramai 1,084 calon, 2P seramai 466 calon dan 1P seramai 245 calon.
Secara keseluruhan sebanyak 59 daripada 102 buah sekolah di Sabah mencapai kelulusan 100 peratus dan ia termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Klias, Beaufort; SMK Agama Tun Datu Mustapha Limauan, Papar; SMK Bongawan, Papar; SMK Kunak Jaya, Kunak; dan SMK Tenghilan, Tuaran.
“Syarat am bagi permemohonan kemasukan ke Universiti awam atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi program pengajian lepasan STPM perlu mendapat sekurang-kurangnya PNGK 2.0 dengan gred C dalam tiga mata pelajaran termasuk Pengajian Am,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, daripada 24 pejabat pendidikan daerah (PPD), sebanyak 11 PPD menunjukkan pencapaian melepasi PNGK negeri iaitu PPD Sipitang, Kunak, Papar, Tuaran, Semporna, Penampang, Kota Kinabalu, Beluran, Tawau dan Beaufort dan Kuala Penyu.- UTUSAN










