MELAKA: Seramai 46 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di Melaka mendapat keputusan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 33 calon pada 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pencapaian PNGK negeri juga lebih tinggi daripada PNGK nasional iaitu 2.84 mata berbanding 2.82 mata.
Menurut beliau, daripada 1,216 calon mendaftar, seramai 1,207 calon hadir menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2022.
“Peratusan calon mendapat lulus penuh dalam empat dan lima mata pelajaran adalah 99.42 peratus atau seramai 1,199 calon. Peratus lulus penuh peringkat nasional adalah 98.94 peratus,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pengumuman Keputusan STPM Tahun 2022 Melaka di sini, semalam.
Dalam pada itu, Rahmad berkata, sebanyak 13 buah sekolah di Melaka berjaya menghasilkan calon yang mendapat keputusan PNGK 4.00.
Katanya, Kolej Tingkatan Enam (KTE) Tun Fatimah mendahului senarai apabila seramai 22 calon merekodkan keputusan cemerlang dengan seorang pelajar sekolah itu dipilih antara 20 pelajar terbaik seluruh negara.
“Sekolah lain yang turut cemerlang adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Melaka dengan enam calon dan tiga calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad. Lima buah sekolah iaitu SMK Seri Tanjung, SMK Tun Tuah, SMK Munshi Abdullah, SMK Gajah Berang dan SMK Sultan Alaudin masing-masing dua calon memperoleh PNGK 4.00.
“SMK Pulau Sebang, SMK Datuk Haji Talib Karim, SMK Datuk Bendahara, SMK Tun Syed Zahiruddin dan SMK Iskandar Shah hanya satu calon,” ujarnya. – UTUSAN










