PETALING JAYA: Bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan tampil mempersoal kebocoran maklumat kepada media mengenai kes pegawai kanan kerajaan Kedah yang ditahan untuk siasatan.
Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepatutnya bertindak terhadap kebocoran tersebut kerana ia seolah-olah disengajakan.
“Saya ulang cabaran saya terhadap SPRM agar membuat laporan polis berkaitan kebocoran maklumat ini. Ini bukan kali pertama. Kebocoran maklumat dari SPRM ini telah berlaku banyak kali.
“Sekiranya SPRM tidak membuat laporan polis, saya bimbang akan ada sangkaan bahawa kebocoran maklumat oleh sumber itu sengaja dirancang oleh orang atasan SPRM untuk tujuan tertentu, atau, pengurusan atasan SPRM terlalu lemah sehingga mandul dalam menjamin disiplin kerahsiaan kerja siasatan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama katanya, beliau menganggap kebocoran maklumat itu sering melibatkan Perikatan Nasional (PN).
“Apatah lagi ‘sumber’ ini nampaknya hanya membocorkan maklumat berkaitan siasatan terhadap PN, sedangkan kes-kes berkaitan pemimpin UMNO berjaya ditutup dengan kedap udara dan kalis bocor.
“Bila SPRM akan membuat laporan polis? Atau adakah SPRM akan membiarkan saja ‘sumber’ terus membocorkan maklumat yang terpilih?” Soalnya. – UTUSAN










