Betulkah pengundi BN sokong PN? - Utusan Malaysia

Betulkah pengundi BN sokong PN?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
GAYA dan tutur kata Menteri Besar Selangor DATUK SERI AMIRUDIN SHARI ketika ditemui Mingguan Malaysia sudah cukup menggambarkan keyakinan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Walaupun ada pihak yang melihat Selangor bukan lagi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) selepas jatuhnya beberapa kawasan Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15) lalu, beliau bersikap sebaliknya.
Malah beliau kini dilihat cukup bersedia berdepan lawan yang sudah mula mengasak di setiap penjuru.
Wartawan ZULKIFLI JALIL, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan MOHAMAD ATHIR ISMAIL menemu ramah beliau bagi mendapatkan perspektifnya. Turut membantu jurufoto, AFIQ RAZALI dan ZUID SAMSON.

MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Selangor menghadapi cabaran dalam PRN nanti?
AMIRUDIN: Selangor merupakan negeri yang disifatkan sebagai kunci penting untuk mana-mana gabungan dan parti politik.
Selepas kita dipilih pada 2008, ia memberi satu ruang yang begitu besar untuk kita menunjukkan kemampuan dan kebolehan. Namun semua itu bukan bergantung kepada kewangan. Kalau diukur daripada segi simpanan dan perbelanjaan, Selangor bukan negeri tertinggi.
Yang tertinggi adalah Sarawak dan Sabah. Ketiga, barulah Selangor yang menjadi pusat kepada pekerjaan dan ekonomi.
Jadi, tidak hairan dalam PRN kali ini, Selangor tetap jadi pilihan lagi sebagaimana sebelum ini. Selain itu, kita percaya dengan konsistennya program dan penerangan kita kepada rakyat serta masyarakat, lebih 60 peratus rakyat selesa dengan pentadbiran negeri.
Jumlah kemarahan rakyat juga tidaklah begitu besar iaitu dalam sekitar 25 peratus sahaja. Jadi, kalau ditanya tentang keyakinan, insya-Allah saya masih yakin menang. Tapi kita perlu bekerja keras untuk memastikan tidak leka dan tidak sentiasa selesa untuk menghadapi PRN.

KEMAJUAN PENTADBIRAN
Datuk Seri berpuas hati dengan kemajuan pembangunan di bawah pentadbiran dalam tempoh dua ke tiga tahun ini?
Dapatan daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan satu petanda yang sangat positif apabila kita melepasi 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Selangor terus mencatatkan jumlah perangkaan dan pertumbuhan ekonomi yang besar. Melebihi kadar yang sangat tinggi. Tahun lepas pertumbuhan (ekonomi) Selangor ialah 11.9 peratus.
Kita juga berjaya mendepani tiga cabaran serentak iaitu politik yang tidak menentu terutama dalam aspek kestabilan di peringkat Kerajaan Persekutuan. Selepas itu, cabaran pandemik Covid-19 dan bencana banjir yang melanda sebelum ini. Ketiga-tiga ni walaupun dalam bentuk berbeza, tetapi ia memberi kesan langsung kepada ekonomi serta cara hidup rakyat.
Namun beberapa langkah yang begitu fokus kita telah lakukan termasuk ketika pandemik. Malah kita ada pakej pemulihan negeri dan diikuti dengan langkah menangani banjir. Ini sewajarnya dilihat dengan teliti oleh rakyat bahawa kerajaan negeri bersungguh-sungguh menangani setiap kes dengan fokus dan juga mengangkat kehidupan rakyat kembali.

3R DALAM KEMPEN
Adakah ini bermakna ia memenuhi keperluan pengundi di Selangor sehingga pembangkang terpaksa menggunakan isu 3R (agama, bangsa dan raja) dalam kempen PRN?
Dalam tempoh dua minggu terakhir memang ada usaha untuk meremehkan pencapaian ekonomi. Tetapi dengan beberapa data yang saya kemukakan dan graf yang saya telah terbitkan, akhirnya mereka terpaksa akui (kemampuan Selangor). Jadi, bila mereka akui, mereka terpaksa membuat alasan tertentu seperti mendakwa negeri ini berdekatan Kuala Lumpur. Sebab itu, Selangor menjadi negeri maju. Kita balas balik kalau tak maju mengapa mahu ambil Selangor semula?
Saya percaya mereka secara tegarnya akan menggunakan isu-isu 3R ini untuk memainkan sentimen dan perasaan masyarakat dalam negeri kita terutamanya orang Melayu. Namun saya percaya dengan kebijaksanaan masyarakat dapat melihat bagaimana Perikatan Nasional (PN) tidak membawa elemen kemajuan. Sebaliknya, mereka kerap menuding jari dan menyalahkan pihak lain. Di Kelantan sebagai contoh. Dalam hal ehwal air, mereka tidak dapat selesaikan dan tidak pernah salah pun.
Sebaliknya, mereka tuding jari dan kata ini semua kerajaan pusat walhal mereka pernah berada dalam Kerajaan Pusat. Dua menteri mereka iaitu bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah kementerian yang terlibat secara langsung dalam industri. Tapi, itu pun tidak dapat diselesaikan. Sebab itu, mereka akan menuding jari kepada pihak lain.
Saya teringat bagaimana berlakunya peristiwa lain seperti bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Dia berjaya menaikkan semangat orang. Tapi apabila berdepan dengan krisis dan masalahnya, dia terpaksa menuding kepada orang lain.
Jadi, perkara ini tidak boleh berlaku di Selangor sebab Selangor adalah sebuah negeri yang perlu ditadbir dengan penuh cermat. Dalam masa sama, kita tak boleh berada dalam keadaan selesa. Sebabnya kalau gagal, kesan kepada Malaysia sangat tinggi. Buat kali pertama sebenarnya ketika pertumbuhan Malaysia negatif pertumbuhan Selangor tidak jatuh terlalu teruk.
Kalau kita gagal, maknanya kita akan bagi kesan kepada keseluruhan Semenanjung Malaysia atau mungkin keseluruhan negara. Kerana kita adalah penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar. Rekod kita selama 15 tahun, hanya sekali atau dua kali kita mengurangkan sumbangan kepada negara.

Adakah 33 kerusi Melayu tidak terkena tempias isu 3R?
Daripada angka yang kita lihat, lebih 60 peratus rakyat Selangor mengatakan bahawa negeri ini dipandu ke arah yang betul. Saya percaya mereka ini rasional kerana kita boleh diterima dan mereka pula tidak mudah terpedaya selepas menerima pelbagai maklumat. Jadi, mereka boleh pertimbangkan dengan baik dengan isu-isu 3R yang akan dipermainkan pihak sebelah sana.

Adakah ia selaras dengan slogan Kita Selangor ini?
Ya, itulah yang saya cuba pamer dan bentuk. Sebenarnya ini pengajaran penting ketika Covid-19 di mana semua rakyat perlu bersatu hati dan bekerjasama serta melaksanakan tugas masing-masing dengan mengamalkan sikap saling hormat-menghormati antara sama lain.
Maknanya masing-masing memerhati antara sama lain. Mana mungkin kita hanya melihat Melayu jaga Melayu, Cina, jaga Cina dan India jaga India. Masing-masing perlu menjaga antara satu sama lain. Kalau kita lihat dalam sektor pembinaan sebagai contoh. Kita ada kontraktor Melayu, kita ada developer Melayu, tetapi rakan kongsinya berbangsa Tionghua. Justeru dalam komposisi Selangor yang sekitar lebih 60 peratus Melayu, saya percaya semangat itu masih perlu dikekalkan dan dipertahankan berbanding dengan kawasan serta lokaliti yang mungkin lebih 90 peratus Melayu seperti di Kelantan dan Terengganu.
Justeru hari ini kena dengan persekitarannya dan juga situasinya. Namun begitu, saya tidak mahu selesa dengan apa yang kita ada. Kita perlu terus bekerja keras dan memantapkan usaha demi kelangsungan serta kesinambungan kemajuan Selangor sekaligus kejayaan kepada PH dan BN di bawah Kerajaan Perpaduan dalam PRN nanti.

BUKAN ‘CUCI TANGAN’
Maknanya apa yang terhasil di Selangor ini kerja keras yang dan bukan sekadar ‘cuci tangan’ sebagaimana dakwaan sebelum ini?
Sebenarnya kata-kata yang dibuat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor itu secara tidak langsung penghinaan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Arwah Tan Sri Khalid Ibrahim.
Daripada segi tema dan gaya politik yang agak keras dan menghina itu saya nampak mereka sudah ganti Barisan Nasional (BN) Dulu sebahagian itu memang kerja BN.
Tapi selepas Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, saya lihat ada perubahan besar dalam sikap kebersamaan dan ini saya rasa satu perkembangan positif dalam arus perubahan yang telah kita lancarkan atau yang kita telah gerakkan.

NOH YANG SENTIASA YAKIN
Apakah reaksi Datuk Seri di sebalik kenyataan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar yang mendakwa mahu menawan Selangor?
Kita berdepan dengan Noh ini sebagai lawan politik pada tahun 2014 sampai 2018. Ayat yang dia gunakan sama begitu dan sentiasa yakin. Tidak ada orang tidak yakin kalau mahu menang dalam politik ini. Yang hilang deposit itu pun kalau kita tanya dia akan menjawab penuh keyakinan bahawa dia akan menang.
Tetapi kita percaya mereka sedang mencipta gelombang , cuma saya tidak lihat gelombang tu berjalan dengan besar. PRN masih lagi lama. Kita tidak boleh selesa. Kita juga ada strategi untuk mencipta gelombang perpaduan Selangor. Sebab, saya lihat majoriti rakyat selesa dengan apa yang dikatakan kestabilan Kerajaan Perpaduan. Cuma yang kita belum tangani isu ekonomi.

KERJASAMA UMNO
Ini kali pertama bersama UMNO. Adakah terdapat sebarang masalah?
Apabila kali pertama jalin kerjasama sudah tentu ada masalah. Tidak mungkin kali pertama bekerjasama terus baik. Tetapi saya lihat potensinya ada. Kita belum lagi kenal rapat. Setiap hubungan pasti ada masalah. Hubungan kawan atau suami isteri mesti ada masalah. Tapi bagaimana hendak diselesaikan? Apa yang agak bagusnya, UMNO ini mempunyai disiplin organisasi yang begitu kuat. Jadi, ia secara tidak langsung akan meningkatkan disiplin parti-parti dalam PH. Selain itu, mereka banyak menyelesaikan masalah secara dalam parti. Saya percaya ia akan menjadi titik penentu dalam hubungan PH dan BN.

Bagaimana mahu memberikan keyakinan kepada penyokong PH untuk undi calon BN dalam PRN nanti?
BN telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Saya tak nak memandang rendah kebolehan dan kemampuan mereka (penyokong) berfikir. Saya percaya mereka boleh berubah. Kehadiran pemimpin-pemimpin perpaduan di pertemuan kita menunjukkan satu reaksi yang sangat positif di antara kedua-dua pihak

Berapa sasaran Datuk Seri untuk memenangi kerusi dalam PRN nanti?
Kita yakin 40 kerusi. Walaupun ada beberapa kerusi itu kita akan berdepan dengan cabaran besar. Yang boleh dikatakan selesa antara 25 sehingga 33 kerusi. Jadi, saya yakin dalam jumlah itu sahaja kita sudah boleh bentuk kerajaan. Dalam keadaan sekarang pun, saya lihat sokongan Melayu agak tinggi jika dibandingkan dengan negeri lain.
Ditambah dengan kepercayaan masyarakat Tionghua, peniaga, wanita, anak muda dan sebagainya. Insya-Allah kita boleh kekal di Selangor dengan majoriti yang signifikan.

Sejauh mana isu peringkat nasional sebagai contoh harga barang mempengaruhi sokongan masyarakat dalam PRN nanti?
Kita ambil contoh Jelajah Jualan Ehsan yang dibuat lebih awal berbanding apa yang dilakukan di Kerajaan Persekutuan. Usaha ini paling tidak, mengurangkan isu yang memberi kesan kepada kerajaan dan sedikit sebanyak menunjukkan usaha kita. Langkah ini, secara tidak langsung menunjukkan campur tangan kita dalam membantu rakyat. Bukannya beri begitu sahaja dan mereka membeli dengan harga subsidi yang kita beri kepada pembekal.

PENGUNDI MUDA
Reaksi pengundi muda?
Untuk pengundi muda saya percaya dengan libat urus bersama mereka yang bukan hanya dalam program politik tetapi program kebajikan, aktiviti hiburan dan sebagainya, ia mampu memberi ruang kepada mereka untuk menunjukkan ekspresi. Di dalam bidang pendidikan pun kita ada bersama mereka.
Sama ada pendidikan menengah dan pendidikan tinggi. Begitu juga untuk mereka yang memilih menceburi bidang p-hailing. Sebanyak 9,000 anak muda ini kita bantu dalam tempoh tiga tahun dengan bantuan tunai sebanyak RM500. Dalam bentuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula sebanyak RM50. Insya-Allah kita akan beri sebanyak RM 1,500 kepada anak muda sebaik selesai penamaan calon. Tahun ini saja 4,500 anak muda kita bantu dengan pelbagai program. Ini bermakna tiada tersisih dalam menerima bantuan.

Mampukah 60 peratus yang menyokong dasar kerajaan akan menterjemah dalam bentuk sokongan pada PRN nanti?
Ya, apabila 60 peratus itu mereka percaya bahawa kerajaan negeri sekarang berada dalam landasan benar. Bermakna sebelah tapak mereka sudah bersedia menyokong PH. Dan ini akan memberikan sedikit kelebihan kepada kita ketika berdepan PRN nanti.
Cuma kerja keras pasukan kitalah yang akan menentukannya. Saya yakin mereka tetap setia dengan PH dalam pilihan raya.

PH akan berdepan cabaran dapatkan undi daripada pengundi UMNO?
Setiap kali pilihan raya akan berlaku cabaran dan saya rasa kalau UMNO dapat menaikkan semangat mereka semula dengan mengerahkan pengundi putih mereka, saya percaya ia akan menjadi satu gabungan yang sangat besar.
Tapi saya realistik bahawa tidak semua seratus peratus akan bertukar. Jadi kalau kita ambil pertukaran (pengundi) dalam sekitar 30 peratus pun kita masih ada dua pertiga (undi). Kalau tukar 50 peratus undi pun kita akan dapat angka jauh lebih besar. Itu angka di atas kertas. Tapi akhirnya dalam realiti politik, kita perlu turun bawah, jumpa orang dan mengatur pelbagai perkara supaya menjamin kemenangan kita.

Ada satu laporan dan kajian memaklumkan yang 60 peratus daripada pengundi BN dalam PRU15 mula beralih arah kepada PN. Reaksi Datuk Seri?
Mereka hanya mengandaikan berdasarkan keputusan lepas. Jadi, kalau itu yang dibuat, maknanya mereka sedang menyedapkan hati mereka sendiri. Dalam kajian ini kita jangan sedapkan hati kita sendiri apatah lagi mendedahkan kesedapan hati kita itu.
Kalau kita dedahkan, maknanya mereka ini dalam kondisi undenial (sangkal). Sebab itu, mereka cuba menafikan pencapaian negeri kita. Selepas itu, mereka akan cuba menafikan pula berapa banyak yang kita telah belanjakan (kemajuan). Walau apa pun, kita tidak pandang rendah (kajian). Dalam masa sama, kita juga ambil rangkuman daripada dua tiga kajian lain yang dibuat. Setakat ini kajiannya agak konsisten.

Datuk Seri menyatakan keyakinan memperoleh 33 kerusi sebelum ini. Apakah asasnya?
Asasnya berdasarkan kepada sokongan yang ada, berdasarkan kemahuan mereka untuk memilih parti selain kecenderungan yang kita bukan buat dalam tempoh satu hari. Saya melakukannya hampir lima tahun semasa dalam pentadbiran.
Sebab, saya mahu tengok adakah mereka sokong pada kerajaan negeri dalam landasan yang betul dan apa kecenderungan politik mereka. Insya-Allah Selangor kita boleh kekalkan. Saya bukan kata mustahil untuk tumbang sebab kita ambil alih Selangor di saat BN mempunyai majoriti besar pada masa itu.
Cuma setakat ini, kita tidak ada isu besar seperti isu penyapu atau perobohan kuil. Malahan data daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan hanya 2.6 peratus sahaja kadar pengangguran kita. Biasanya kadar 3.2 peratus (pengangguran) ini sudah dianggap sebagai kadar tenaga penuh dalam mana-mana negara.
Kalau kita capai 2.6 peratus, maknanya tiada yang tidak mendapat pekerjaan. Itu belum lagi isu lain seperti harga barang. Jadi, kita kita telah tunjukkan usaha kita.
Mereka sangka mereka boleh lupakan orang dengan permainan 3R dan juga komen serta propaganda. Tapi saya percaya tugas kita untuk menerangkan dan terpulanglah kepada rakyat selepas itu. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×