Berhenti bincang pengganti Salahuddin - Mat Sabu

Berhenti bincang pengganti Salahuddin – Mat Sabu

Mohamad Sabu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu meminta semua pemimpin parti itu berhenti bercakap tentang siapa yang akan menggantikan tempat pengganti Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika ini.

Menurutnya, perkara itu akan diputuskan oleh kepimpinan parti bila tiba masa yang sesuai.

“Jangan memikirkan dahulu siapa yang akan menggantikan tempat almarhum Salahuddin. Selepas ini, barulah kita akan membincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait pengganti kepimpinan yang telah pergi.

“Jangan kita dilaga-lagakan oleh pihak lain dalam isu ini. Pihak kepimpinan Amanah sendiri akan menguruskan sebaik-baiknya hal-hal berkait pengganti kepimpinan dan masa depan parti mengikut aturan-aturan dan amalan kebiasaan parti,” katanya dalam kenyataan.

Salahuddin sebelum ini merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram selain memegang jawatan Timbalan Presiden Parti Amanah.

Ketika ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh mengetuai kementeriannya.

Amanah ketika ini dibarisi tujuh ahli Parlimen iaitu Mohamad; bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Mohd. Sany Hamzan (Hulu Langat), Azli Yusof (Shah Alam), Raj Munni Sabu (Sepang), Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Aminolhuda Hassan (Sri Gading).

Bagaimanapun, kata Mat Sabu, tumpuannya ketika ini ialah tugas menteri dan partinya dalam melaksanakan gerak kerja Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

“Saya sendiri memberi komitmen untuk memberikan tumpuan kepada tanggungjawab di Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan turun bersama-sama ahli ke bawah untuk melaksanakan gerak kerja pilihan raya.

“Tanggungjawab kita sangat penting untuk memberi kemenangan kepada calon-calon daripada parti yang bergabung dalam kerajaan perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 3 Ogos ini, bagi membincangkan mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Kekosongan luar jangka itu telah dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi susulan pemergian penyandangnya, Salahuddin.

Kedua-dua PRK dijangka diadakan pada awal September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN