SUNGAI PETANI: Seorang buruh binaan warga Indonesia menikam mati rakan sekerjanya dari Bangladesh dipercayai berang selepas dipukul dengan kayu ketika bertengkar berebut papan lapis dalam kejadian di Sri Astana, di sini petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu membabitkan suspek berusia 53 tahun dan mangsa yang berumur 35 tahun yang kedua-duanya sedang bekerja dengan sebuah syarikat pembinaan di tapak perumahan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa maut akibat cedera parah di bahagian perut setelah ditikam dengan parang.
“Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada perebutan papan lapis antara mereka yang berlarutan hingga berlaku pertengkaran. Mangsa terlebih dulu memukul suspek menggunakan sebatang kayu menyebabkan lelaki itu marah lalu bertindak balas menikam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zaidy berkata, suspek bertindak melarikan diri, namun berjaya dikesan berada di Bedong, dekat sini sebelum ditahan pada pukul 8 malam tadi, namun polis masih mencari senjata yang digunakannya dalam kejadian itu.
“Mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan pihak kita sedang menjejak saksi di lokasi kejadian untuk membantu melengkapkan siasatan,” katanya.
Sementara itu, suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas perintah dikeluarkan tersebut dikeluarkan oleh Majistret Khairatul Animah Jelani. –UTUSAN