KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Otman Arsahd dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda berjumlah RM284.2 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 96 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, 11 tahun lalu.
Hakim Kamarudin Kamsun mensabitkan tertuduh atas 17 pertuduhan melibatkan tuntutan palsu, 15 pertuduhan salah guna kedudukan dan 64 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.
Kamarudin memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah pada kes pendakwaan selepas mendengar keterangan bersumpah saksi-saksi, meneliti eksibit dan hujahan bertulis kedua-dua pihak.
Mahkamah memerintahkan Otman dipenjara berjumlah 243 tahun dan didenda RM190 juta bagi 17 kesalahan melibatkan tuntutan palsu. Jika denda gagal dibayar, lelaki itu dipenjara 119 bulan.
Bagi 15 kesalahan salah guna kedudukan, Otman dipenjara berjumlah 85 tahun dan didenda RM10.8 juta atau dipenjara 125 bulan, sekiranya denda gagal dibayar.
Kamarudin turut memerintahkan Otman dipenjara antara tiga bulan dan 11 tahun dan didenda berjumlah RM83.4 juta atau dipenjara 934 bulan, sekiranya denda tidak dijelaskan.
Namun demikian, Otman hanya menjalani tempoh pemenjaraan selama 15 tahun selepas mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak berkuatkuasa hari ini.
Kamarudin membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan membebaskan Otman dengan jaminan tambahan RM300,000 dengan seorang penjamin. Sebelum ini, dia dibebaskan dengan jaminan RM250,000.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan agar jaminan RM100,000 dijelaskan hari ini manakala baki RM200,000 dibayar pada atau Isnin depan.
Pada prosiding itu, mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kesemua harta seperti dalam lampiran dilucuthakkan kepada Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Antara harta yang dilucuthak adalah barangan mewah termasuk kereta, jam tangan dan beg tangan berjenama Birkin.
Kamarudin turut membenarkan warta dikeluarkan kepada pihak ketiga agar hadir ke mahkamah pada 26 September ini untuk menuntut harta-harta yang akan dilucuthak.
Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memohon hakim berkenaan mengambil kira keadaan Otman yang tidak bekerja dan hanya bergantung kepada keluarga sejak didakwa pada 2016.
Peguam berhujah, anak guamnya hidup dalam tekanan selama tujuh tahun sejak kesnya dibicarakan namun tidak pernah gagal menghadirkan diri setiap kali prosiding berlangsung.
Ketika memohon untuk penangguhan pelaksanaan hukuman, Muhammad Rafique berhujah, anak guamnya tidak dalam kedudukan untuk membayar jumlah denda yang dikenakan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh memohon mahkamah menjatuhan hukuman penjara di antara lapan dan 10 tahun dan denda lima kali ganda bagi setiap pertuduhan.
Beliau berhujah, tindakan Otman menyebabkan KBS mengalami kerugian besar di antara 2012 dan 2015 walhal dana yang disalah guna sepatutnya disalurkan untuk kemajuan sukan dan atlet negara bermula peringkat akar umbi hingga kebangsaan.
Pasukan pendakwaan turut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal, Haresh Prakash Somiah dan Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong.
Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta.
Kejadian didakwa dilakukan di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini di antara 28 Februari 2012 dan 18 November 2015.
Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) Akta SPRM 2009 manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.
Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 dan 11 Disember 2015.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
Kes itu sudah berlangsung selama tujuh tahun sejak Otman, 64, didakwa pada pada 31 Mac 2016 manakala pihak pembelaan menutup kes pada 29 November 2022 setelah mengemukakan keterangan tertuduh yang merupakan satu-satunya saksi pembelaan. Seramai 70 saksi memberi keterangan. -UTUSAN