Baru dilantik ketua kampung, rumah ditembak lelaki bertopeng - Utusan Malaysia

Baru dilantik ketua kampung, rumah ditembak lelaki bertopeng

LELAKI yang merupakan seorang ketua kampung menunjukkan kesan tembakan yang terkena cermin pintu rumahnya di Kuala Gula, Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila bunyi letupan yang disangkakan mercun rupa-rupanya tembakan yang dilepaskan ke arah rumahnya oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian Taman Muhibbah, Kuala Gula dekat sini awal pagi tadi.

Wanita yang enggan dikenali itu berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.50 pagi ketika dia keluar dari bilik air di dalam bilik tidurnya.

Menurutnya, ketika itu dia terdengar bunyi letupan seperti mercun lalu dia menuju ke tingkap bilik tidur untuk melihat siapa yang main mercun pada awal pagi.

“Ketika melihat melalui tingkap, saya nampak seorang lelaki memakai topeng muka di luar hadapan pintu pagar sambil memegang sepucuk pistol dan melepaskan tembakan secara rambang ke arah rumah saya.

“Saya segera mengejutkan suami yang sedang tidur dan memberitahu apa yang telah berlaku,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Menurut wanita itu, suaminya yang menjalankan ternakan kerang di Kuala Gula baru sahaja dilantik sebagai ketua kampung di kawasan tersebut.

“Kami sekeluarga tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan tidak pernah terlibat dalam sebarang pinjaman dengan ah long.

“Saya bersyukur kerana ahli keluarga saya berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada pemilik rumah yang terlibat mengenai kejadian tersebut.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa tinggal bersama isteri dan empat orang anaknya telah terdengar bunyi letupan di luar rumah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta, motosikal serta pintu cermin rumah mangsa,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan yang dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak mendapati beberapa kesan tembakan telah dilepaskan.

“Polis menemukan lima kelongsong peluru kaliber 9mm di tempat kejadian.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek adalah seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah rumah mangsa.

“Polis masih mendalami motif kejadian dan usàha menjejak suspek giat dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat)1971,” katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Zulhilmi Dahon menerusi nombor telefon 013-2604403 atau ke balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya