KUALA TERENGGANU: Kesusahan hidup tidak menghalang Aqilah Talib, 20, menjadi pelajar cemerlang apabila memperoleh semua A dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan semalam.
Anak bongsu daripada 10 beradik itu berkata, bapanya, Talib Abdul Rahman, 70, bekerja sebagai buruh binaan ketika muda dan kini membantu ibu, Mariam Chik, 60, menjual pelbagai jenis kuih-muih tradisional untuk menyara hidup.
Aqilah yang tinggal di Pasir Panjang di sini berkata, setiap hari dia akan bangun pada pukul 4 pagi untuk mengulang kaji pelajaran selama sejam.
“Selepas itu, saya akan bantu ibu menggoreng kuih-muih sebelum dihantar ke gerai makan di sekitar pusat bandar Kuala Terengganu dan seterusnya ke sekolah seperti biasa.
“Walaupun agak penat, namun semua itu berbaloi apabila mendapat keputusan cemerlang dan ia adalah hadiah terbaik untuk ibu bapa saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan STPM Terengganu 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini.
Aqilah adalah antara 112 pelajar Terengganu yang memperoleh semua A dengan PNGK 4.00 dalam STPM yang diraikan di sekolah tersebut.
Aqilah berkata, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehnya dua tahun lalu adalah ‘biasa-biasa’ sahaja iaitu 4A, 1B dan 2C, namun bapanya tetap mahu dia menyambung pengajian kerana hanya ilmu mampu mengubah kehidupan menjadi lebih baik dan keluar daripada kepompong kemiskinan.
“Saya ada menerima tawaran ke peringkat diploma di sebuah universiti awam, namun memilih untuk menyambung pengajian ke Tingkatan Enam kerana tidak mahu menyusahkan ibu bapa dari segi kewangan.
“Saya sedar kemampuan keluarga terbatas dan pada masa sama mahu berada dekat dengan mereka untuk membantu menjual kuih-muih,” katanya. – UTUSAN