‘Baju biru’ warnai Dewan Tun Hussein Onn

‘Baju biru’ warnai Dewan Tun Hussein Onn

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama pemimpin BN yang lain di Majlis Pengumuman Calon bagi PRN di Dewan Tun Hussein Onn di sini, hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Tun Hussein Onn malam ini penuh sesak dengan penyokong Barisan Nasional (BN) yang hadir Majlis Pengumuman Calon bagi enam pilihan raya negeri (PRN), sejak pukul 8 malam ini.

Biarpun kerusi yang disediakan sudah penuh, penyokong BN dilihat tetap bersemangat berdiri di sisi dewan yang terletak di tingkat 2, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini pada pukul 8.44 malam tadi, diiringi Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan selain pemimpin BN yang lain.

Ketibaan mereka disambut dengan tepukan gemuruh selain laungan ‘Kita Pilih’ oleh pengerusi majlis sebelum disambut ‘Perpaduan’ dan ‘Barisan’.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilapor berkata, BN dijangka bertanding lebih 100 kerusi atau 45 pera­tus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 245 kawasan.

Enam PRN itu adalah Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

SPR sebelum ini menetapkan hari mengundi pada 12 Ogos ini, manakala hari penamaan calon pada 29 Julai dan hari pengundian awal pada 8 Ogos melibatkan seramai 9,773,571 orang pemilih mengikut Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu.

Jumlah pemilih itu meliputi 9,674,456 pengundi biasa, 49,660 tentera dan pasangan, 47,728 polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 1,727 orang pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada Sabtu 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN