Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster dikesan ada racun

Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster dikesan ada racun

ARMILA Beauty Kak ELL Pigment Booster dikesan ada racun berjadual.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Produk kosmetik, Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster dikesan mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, susulan itu, notifikasi produk kosmetik terlibat dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Katanya, orang awam digesa mengelak daripada membeli dan menggunakan produk kosmetik tersebut serta-merta kerana produk yang mengandungi betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.

“Penggunaan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini seperti bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit.

“Ia juga boleh meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Radzi mengingatkan kepada penjual dan pengedar produk kosmetik ini menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Manakala denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya