Anjung Kasih di setiap hospital jika ada keperluan - Utusan Malaysia

Anjung Kasih di setiap hospital jika ada keperluan

NANCY Shukri (tengah) menerima replika kunci sebagai tanda perasmian Anjung Kasih YKN di HSJ, Butterworth, Pulau Pinang hari ini. Turut kelihatan Dr. Zaliha Mustafa (tiga dari kiri) dan Dr. Jeffrey Cheah (tiga dari kanan). - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan Anjung Kasih di setiap hospital jika ada keperluan pada masa depan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini, terdapat sebanyak 18 buah kemudahan penginapan itu di seluruh negara dan telah dimanfaatkan oleh seramai 89,864 waris pesakit sehingga Mei lalu.

Katanya, pembinaan Anjung Kasih terbaharu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan pula dijangka siap hujung tahun ini.

“Memang ada perancangan untuk semua hospital diwujudkan Anjung Kasih dan memang sesetengah hospital juga memerlukan kemudahan penginapan itu.

“Ada juga Anjung Kasih yang telah dibina itu kecil dan sempit. Maka, ia perlu diperbesarkan. Itu juga termasuk dalam perancangan kita,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini, yang turut dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah selaku penaja pembinaan Anjung Kasih berkenaan.

NANCY Shukri (tiga dari kanan) dan Dr. Zaliha Mustafa (kiri) menyerahkan cenderahati kepada salah seorang penginap Anjung Kasih YKN di HSJ, Butterworth, Pulau Pinang hari ini. – Pic: IQBAL HAMDAN

Difahamkan, Anjung Kasih YKN di HSJ itu telah mula beroperasi sejak Julai tahun lepas melalui tajaan sebanyak RM1 juta daripada Kumpulan Sunway untuk kerja-kerja menaik taraf bangunan, kelengkapan perabot serta kemudahan fasiliti lain.

Dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 72 buah katil yang dibahagikan kepada enam bilik keluarga, Anjung Kasih YKN HSJ turut menempatkan beberapa kemudahan lain seperti bilik untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan kemudahan-kemudahan lain.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, kemudahan penginapan Anjung Kasih itu dapat membantu menjimatkan kos penginapan waris atau keluarga pesakit yang menjalani rawatan di hospital kerajaan dengan purata penjimatan antara RM100 hingga RM150 sehari.

Katanya, pelaksanaan inisiatif itu jelas memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu meringankan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Sementara itu, pada majlis sama, Dr. Zaliha turut mengumumkan pemberian peruntukan tambahan sebanyak RM150,000 kepada HSJ untuk kerja-kerja naik taraf dan pembaikan serta pembelian peralatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya