TUMPAT: “Dia beria-ia nak naik bot, tak sangka berakhir pula dengan tragedi”.
Demikian jelas Afendi Ismail, 43, mengenai kejadian menimpa anak tunggalnya, Amrullah Fitri, 10, yang hilang dalam kejadian bot terbalik di Sungai Kelantan dekat Kampung Pasir Pekan Hulu di sini petang kelmarin.
Afendi berkata, dia dan anaknya itu bertolak dari rumah mereka di Kampung Patek, Kadok selepas menunaikan solat Jumaat apabila mangsa beria-ria mahu bersiar-siar menaiki bot milik datuknya.
Menurutnya, apabila tiba di kampung, saudaranya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30, bersama isteri, Norawaddah Sulong, 30, dan anak yang berusia 14 bulan dilihat sudah bersiap sedia untuk menaiki bot di pinggir Sungai Kelantan.
“Jadi, Amrullah Fitri terus menaiki bot. Dia beria-ria mengajak saya untuk pulang ke rumah datuknya kerana mahu bersiar-siar di Sungai Kelantan dengan menaiki bot semasa cuti sempena Aidiladha.
“Selepas itu, saya terus pergi ke rumah saudara di Kampung Kutan Tengah di sini sebelum menerima panggilan telefon kira-kira pukul 7 malam mengenai kejadian selepas bot tersebut tiba-tiba rosak dalam cuaca tidak baik,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian semalam.
Afendi memberitahu, dia terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mayat Norawaddah terbaring di tepi sungai sementara penduduk kampung mencari anaknya dan Wan Muhamad Najmi di kawasan sungai.
Katanya, dia sempat melaungkan azan di lokasi kejadian semasa operasi mencari dan menyelamat anaknya dijalankan oleh polis, bomba dan penduduk kampung.
“Amrullah Fitri sempat membaca surah Yasin sebelum menunaikan solat Jumaat. Dia juga berada di sebelah saya semasa menunaikan solat Jumaat di saf pertama di masjid berhampiran rumah kami,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan, seorang wanita maut, dua lagi hilang selepas bot yang dinaiki mereka tiba-tiba rosak menyebabkan mereka terpelanting ke dalam Sungai Kelantan dekat Kampung Pasir Pekan Hulu di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, Norawaddah ditemukan meninggal dunia.
Dalam kejadian itu, hanya anak Wan Muhamad Najmi dan Norawaddah iaitu Wan Noramina yang berusia 14 bulan berjaya diselamatkan oleh saudara mereka yang berada di lokasi kejadian. – UTUSAN