Aksi biadab The 1975, ambil tindakan tegas terhadap penganjur

Aksi biadab The 1975, ambil tindakan tegas terhadap penganjur

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Penganjur Festival Good Vibes 2023 perlu dikenakan tindakan tegas susulan perbuatan biadab ahli kumpulan muzik antarabangsa, The 1975 yang melakukan aksi melampau yang menghina undang-undang di negara ini, malam tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tindakan ahli kumpulan itu semasa melakukan persembahan jelas tidak sensitif dan menghormati rakyat Malaysia.

“Yang ini (isu ini) di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan saya difahamkan Menteri KKD, Fahmi Fadzil sudah panggil penganjur.

“(Tetapi) sebagai menteri agama dan menjaga hal ehwal agama, saya bersetuju dan mengharapkan satu tindakan tegas perlu diambil terhadap penganjur.

“Ini (bagi) memastikan ia menjadi pengajaran kepada penganjur lain yang berhasrat menjemput kumpulan penghibur dari luar negara menjaga sensitiviti Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian Akademik Daie Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) serta Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kompleks Baharu Institut Latihan Dakwah Yadim di Sungai Semungkis, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, semua pihak terutama penganjur harus mematuhi peraturan dan garis panduan sedia ada sebelum membawa masuk mana-mana kumpulan atau penghibur dari luar negara.

“Kita sudah ada garis panduan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut terbabit memberikan pandangan.

“Saya harapkan penganjur yang berhasrat menjemput kumpulan atau penyanyi dari luar supaya mematuhi garis panduan dan peraturan yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya