Airee Beautycare Night Cream, BL Ledehh Day Cream dikesan ada racun berjadual - KKM

Airee Beautycare Night Cream, BL Ledehh Day Cream dikesan ada racun berjadual – KKM

AIREE Beautycare Night Cream, BL Ledehh Day Cream dikesan ada racun berjadual.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua produk kosmetik, Airee Beautycare Night Cream dan BL Ledehh Day Cream dikesan mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

Beliau berkata, produk Airee Beautycare Night Cream mengandungi racun Merkuri yang boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan selain mengalami ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, BL Ledehh Day Cream pula didapati mengandungi racun hydroquinone dan tretinoin yang mana ia adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah serta hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Katanya, penggunaan produk yang mengandungi bahan hydroquinone tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan sert perubahan warna kulit yang tidak diingini.

Selain itu, kulit boleh menjadi hipersensitif, menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Tretinoin boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Radzi memaklumkan, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Katanya, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

“Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya