Air naik cepat, penduduk tak sempat selamatkan barang

Air naik cepat, penduduk tak sempat selamatkan barang

MUHAMMAD Zul Izzi Zulkifli melihat kesan paras air di rumah Nur Hashimah Mahmud selepas banjir kilat di kediaman berhampiran SMA Nadzah, Bukit Besar di Yan. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: “Air sangat deras dan cepat sangat naik sehingga tidak sempat kami alihkan barangan elektrik dan perabot kerana hanya fikirkan untuk selamatkan diri dan anak-anak.

Itu pengalaman ditempuh suami isteri, Nur Hashimah Mahmud, 38, dan Ismail Osman, 38, bersama empat anak kecil ketika berdepan banjir kilat di kawasan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nadzah, Bukit Besar semalam.

Menceritakan semula detik kejadian, Nur Hashimah berkata, ketika air mula memasuki rumah kira-kira pukul 6 pagi, dia dan suami sedang bersiap untuk keluar bekerja manakala semua anaknya yang berumur dua hingga 13 tahun sedang tidur.

“Saya dan suami panik hingga tak sempat alih barangan kerana terfikirkan keselamatan anak. Selepas kejutkan semua anak dan bawa mereka keluar banjir telah menghampiri paras lutut menyebabkan barangan dalam rumah kami terendam air,” katanya ketika ditemui.

Kediaman mereka antara 52 rumah di Mukim Sala Besar yang dinaiki air setelah hujan lebat berterusan sejak awal pagi sehingga mengakibatkan banjir kilat.

Nur Hashimah yang berniaga kedai runcit berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM2,000 apabila peti ais dan beberapa almari rosak dalam kejadian itu.

Seorang lagi penduduk, Abd. Latif Mat, 67, berkata, banjir kilat itu adalah kejadian kedua berlaku tahun ini walaupun tidak seteruk bencana pada Januari lalu kerugian yang dialami agak besar kerana melibatkan kerosakan perkakas rumah dan kenderaan.

“Dua buah motosikal saya turut rosak kerana air mula memasuki rumah ketika saya dan isteri, Roshadah Hashim sedang berehat selepas solat Subuh. Limpahan dalam tempoh tidak sampai 20 minit sebelum rumah kami dinaiki air hampir semeter,” katanya.

Suri rumah, Fatimah Ahmad, 77, berkata, dia panik ketika air memasuki rumahnya memandangkan tinggal berseorangan.

“Dalam keadaan saya yang alami pelbagai penyakit ini menyebabkan gagal bertindak pantas untuk menyelamatkan perabot rumah ketika itu.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana paras air hampir semeter itu mula berkurangan dua jam kemudian sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Muhammad Zul Izzi Zulkifli berkata, pihaknya telah menyalurkan bantuan segera daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah kepada mangsa.

“Kami sedang mengemaskini laporan kejadian dan jumlah sebenar penduduk terlibat untuk memudahkan urusan bantuan selanjutnya,” kata beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya